Gambar Hiasan |
PUTRAJAYA - Sebuah restoran di Subang Jaya, Selangor bakal berhadapan
tindakan mahkamah kerana menaikkan harga kerang daripada RM3 sepiring
kepada RM7.50 setengah piring dengan menggunakan alasan pelaksanaan
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, kes itu adalah
satu daripada 18 kes yang sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Harga
dan Anti Pencatutan 2011 dan akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya
minggu depan.
Menurutnya sembilan kes dikenal pasti di Melaka, Pulau Pinang (tiga), Kuala Lumpur (tiga), Selangor (dua) dan Putrajaya (satu).
"Ketiga-tiga kes di Kuala Lumpur melibatkan peniaga gagal menjawab
notis tunjuk sebab. Di Putrajaya pula ada peniaga naikkan harga kacang
bendi daripada RM12.50 kepada RM18.50 sekilogram.
"Di Melaka enam kes melibatkan peniaga menaikkan harga peti ais. Ada
yang naik daripada RM2,999 kepada RM3,129 selepas GST dilaksana,"
katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Alias berkata, jika sabit kesalahan individu boleh didenda RM100,000
atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya atau denda RM500,000 ke atas
syarikat.
Mengenai caj perkhidmatan, beliau berkata KPDNKK melalui Suruhanjaya
Persaingan Malaysia (MyCC) akan memulakan siasatan di bawah Akta
Persaingan untuk mengenal pasti jika terdapat elemen pakatan dalam
kalangan syarikat untuk menetapkan kadar caj itu.
"Kalau ada pakatan dalam kalangan persatuan atau peniaga menetapkan
misalnya 10 peratus caj perkhidmatan, mereka akan tertakluk kepada Akta
Persaingan.
"Mereka sepatutnya bebas untuk tetapkan caj itu mungkin empat, lima
atau enam peratus. Tetapi kita nampak semua tetapkan 10 peratus (kadar
maksimum)," jelasnya.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan syarikat boleh dikenakan denda
maksimum 10 peratus daripada keseluruhan perolehan global mereka.
Sementara itu, Alias berkata, pertemuan dengan wakil persatuan hotel
dan restoran pula akan diselesaikan pada minggu ini dan laporannya
dijangka dikemukakan kepada jemaah menteri hujung bulan ini.
KPDNKK juga telah mengeluarkan sebanyak 61 notis berkaitan caj
perkhidmatan daripada 698 pemeriksaan ke atas premis perniagaan dari 8
hingga 14 April. - Bernama