ARAU – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Datuk Seri Hasan Malek berkata wang yang dikutip melalui pelaksanaan
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan disalah guna.
Beliau menegaskan wang tersebut akan digunakan bagi membina jalan
raya, masjid, surau, kuil, sekolah, pembangunan modal insan, pendidikan
dan membaik pulih infrastruktur.
“Setelah 11 hari GST dilaksanakan, rakyat didapati dapat menerimanya
tetapi dikelirukan oleh pihak tertentu terutama pembangkang semata-mata
untuk meraih sokongan pengundi.
“Memang dasar pembangkang, apa yang kerajaan buat semuanya tak kena,”
katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Isu Semasa dan Ramah
Mesra Bersama Ahli Kelab Pengguna dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di
sini, hari ini.
Ditanya mengenai pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad bahawa GST tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini, Hasan
berkata ia adalah hak Dr Mahathir untuk memberikan pandangan tersebut.
“Tun Dr Mahathir mungkin arif hal-hal luar negara tetapi perlu
diingat bahawa 170 negara telah melaksanakan GST,” katanya, sambil
mengingatkan peniaga agar tidak menipu rakyat untuk mendapat untung yang
lebih melalui GST.
Hasan meminta pengguna yang ditipu oleh peniaga supaya membawa kes
mereka kepada Tribunal Tuntutan Pengguna, selain membuat aduan kepada
pihaknya untuk membuat siasatan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perlis Datuk Sabry
Ahmad. – BERNAMA