ROMPIN – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari
ini menyangkal dakwaan kononnya jentera Pemuda parti itu tidak turun
padang untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin
kerana merajuk tidak dipilih sebagai calon.
Pemuda UMNO masih dapat dilihat di peringkat Pusat Daerah Mengundi
(PDM) di kebanyakan kawasan Parlimen Rompin, katanya kepada pemberita
selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 70 anggota
Veteran Angkatan Tentera Malaysia cawangan Muadzam Shah di dataran
Muadzam Shah dekat sini, hari ini.
Hishammuddin, yang juga Ketua Penyelaras Barisan Nasional (BN) untuk
PRK Rompin, bagaimanapun berkata jika terdapat sebarang masalah dalam
kalangan Pemuda UMNO di peringkat bahagian atau negeri, parti itu akan
selesaikan dengan segera.
Beliau turut berkata fokus parti itu sekarang adalah mengenal pasti
kaedah untuk memujuk 53,294 pengundi keluar mengundi pada 5 Mei nanti
untuk memastikan kerusi Parlimen itu terus milik BN dan bukan pasal isu
Pemuda UMNO.
Sementara itu, Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan turut
menasihati masyarakat Rompin supaya jangan terlalu mengikut emosi dengan
isu-isu semasa yang dibangkitkan pembangkang.
“Pada masa sekarang, ada sahaja agenda tersendiri untuk menjatuhkan
kita (BN), ada sahaja cerita untuk memperlekehkan kepimpinan negara. Dan
kalau kita terikut dengan emosi, kemungkinan besar kita akan mengalami
ancaman-ancaman dari luar pula.
“Sebenarnya ada had dan batas dalam politik. Rakyat yang harus
mengetahui kebenarannya. Jangan disebabkan nyamuk, kelambu dibakar,”
katanya.
Hishammuddin apabila diminta mengulas kritikan berterusan bekas
perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak, berkata serangan politik terhadap pemimpin negara
adalah perkara biasa dalam dunia politik.
Walau bagaimanapun serangan itu tidak sepatutnya menjejaskan kepimpinan negara dalam menjaga kebajikan rakyat, katanya.
Malah Dr Mahathir pernah memaklumkan semasa beliau menjadi perdana
menteri dahulu serangan politik terhadapnya adalah perkara biasa,
katanya.
Turut hadir pada majlis itu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Muadzam Shah Datuk Maznah Mazlan, ADUN Bukit Ibam Wan Kadri Wan Mahussin
dan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Senator
Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.
PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara
calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad, bagi mengisi
kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri
Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4
April lepas. – BERNAMA