PUTRAJAYA – Caj perkhidmatan yang diamalkan kebanyakan restoran dan
hotel di negara ini bagi menggantikan konsep memberi tip, dilihat tidak
lagi relevan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Alias Ahmad.
Katanya, caj perkhidmatan bukan sesuatu yang wajib dikenakan
pengusaha hotel dan restoran dengan mengambil contoh Carlton Holiday
Hotel, Shah Alam yang tidak mengenakan caj berkenaan kepada pelanggan
mereka.
Alias berkata, kutipan caj perkhidmatan itu juga berkemungkinan tidak disalurkan kepada pekerja.
“Tidak semua pengendali restoran dan hotel yang mengenakan caj
perkhidmatan mengamalkan konsep sama seperti ‘tipping’ dengan memberi
wang yang dikutip itu kepada pekerja mereka…ini salah,” katanya dalam
sidang media berkenaan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
(Antipencatutan) di sini, hari ini.
Beliau berkata caj perkhidmatan juga tidak wajar dikenakan
memandangkan dasar gaji minimum telah dilaksanakan sejak Januari tahun
lepas.
Alias berkata, kerajaan dalam proses mengeluarkan polisi baharu
berkaitan caj perkhidmatan berkenaan dan peniaga harus mempamerkan notis
perjanjian bersama di premis mereka berkenaan caj yang dikenakan.
Katanya negara maju seperti Amerika Syarikat, Mexico dan Emiriah Arab
Bersatu, tidak lagi mengamalkan konsep ‘tipping’ di negara mereka.
“Banyak negara telah berubah,” katanya.
Dalam pada itu, Alias berkata, tujuh kesalahan membabitkan aktiviti
pencatutan, tidak meletakkan tanda harga dan tanda harga mengelirukan
dikesan hasil pemeriksaan ke atas 98 restoran dan 37 hotel.
“Notis telah dikeluarkan kepada mereka dan tempoh tujuh hari
diberikan untuk mereka menjawab notis tersebut sebelum siasatan
dilakukan,” katanya.
Alias berkata sepanjang seminggu pelaksanaan GST, sejumlah 320 notis
telah dikeluarkan kepada peniaga untuk mendapatkan penjelasan dan
justifikasi punca kenaikan harga atau caj perkhidmatan yang tidak
munasabah di pasaran. – BERNAMA