Datuk Seri Abdul Hadi Awang |
ALOR SETAR - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyanggah pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mendakwa enakmen hudud yang dibentang PAS baru-baru ini adalah "hudud PAS".
Kata Abdul Hadi, hudud itu adalah hudud Allah dan bukannya hak milik mana-mana parti politik sama ada PAS mahupun UMNO.
"Hudud itu hukum hudud Allah, bukan milik PAS ataupun milik UMNO. Siapa yang kata begitu tidak faham hudud sebenarnya," Abdul Hadi yang juga merupakan Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
Dr Mahathir sebelum ini secara sinis mendakwa bahawa beliau bukanlah terlalu jahil dalam hal ehwal agama dan menyelar tindakan UMNO Kelantan yang sebelum ini menyokong enakmen hudud yang dibentang di Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan itu.
“Saya terkejut mendengar bahawa UMNO Kelantan menyokong hudud PAS. Saya harap mereka faham apa yang dilakukan oleh mereka. Hudud PAS bukan hudud Islam sebab ia sangat tidak adil sedangkan Al-Quran menuntut keadilan apabila menghukum.
"Saya tidaklah begitu jahil dalam bidang agama," kata bekas Perdana Menteri itu.
Abdul Hadi dalam kenyataannya turut menjelaskan bahawa hukum hudud seperti yang tertulis dalam kandungan Al-Quran wajib dipatuhi oleh seluruh umat Islam tanpa mengenal sempadan politik.
"Dalam syariah ada banyak cabang termasuk politik, ekonomi, keluarga dan jenayah.
"Hukum jenayah pula ada tiga. Yang wajib itu hukum hudud. Ia adil, dan tidak boleh diubah," tegasnya dalam satu kenyataan, semalam. -Kedahnews.com