"Hudud" #PRKPermatangPauh: PAS Wajibkan Ahli Sokong PKR Atau Kena Tindakan Disiplin

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu
PERMATANG PAUH - Meskipun PKR masih tidak menyokong hudud, PAS mewajibkan seluruh jenteranya termasuk di Pulau Pinang untuk menyokong dan berkempen membantu calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memenangi Pilihanraya Kecil (PRK) di Permatang Pauh.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam kenyataan terbarunya menegaskan keputusan tersebut telah dicapai dalam satu mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini.

"Keputusan PAS menyokong dan membantu calon PKR Permatang Pauh telah dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang merupakan badan eksekutif tertinggi dalam organisasi PAS. 

"Semua ahli-ahli PAS wajib menolak sebarang arahan atau pendirian yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat ini," tegas Mohamad dalam kenyataan tersebut.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu juga menyatakan bahawa Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah akan disiasat dan dikenakan tindakan disiplin terhadapnya dalam masa terdekat.

Malah jelas Mat Sabu, segala kenyataan atau pendirian yang bertentangan dengan keputusan tersebut adalah terbatal, termasuk kenyataan Mohd Yusni yang merehatkan semua jentera Pemuda PAS di negeri itu, sekaligus memboikot PRK Permatang Pauh.

"Mana-mana arahan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak dalam PAS yang bercanggah dengan keputusan itu adalah dengan sendirinya terbatal.

"Siasatan dan tindakan tegas akan diambil oleh Jawatankuasa PAS Pusat terhadap Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang dalam tempoh terdekat," tegasnya lagi dalam kenyataan berkenaan.

Timbalan Presiden PAS yang kini tergugat kedudukannya dalam pemilihan PAS pada Jun ini turut memberi amaran kepada mana-mana ahli parti bahawa tindakan disiplin akan dikenakan kepada mereka yang ingkar pada arahan tersebut.

"Sekiranya ada tindakan dari mana-mana ahli yang terbukti bertentangan dengan arahan ini, tindakan tatatertib boleh dikenakan ke atas ahli tersebut berdasarkan peruntukan-peruntukan yang jelas termaktub dalam perlembagaan," katanya memberi amaran.

PAS Permatang Pauh sebelum ini mendesak PKR meminta maaf terhadap PAS atas hinaan dan kenyataan biadap parti itu terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, serta mahu Wan Azizah berubah untuk menyokong usaha perlaksanaan hudud di Kelantan.

Malah Ketua Urusan Dewan Ulamanya, Badrul Abdul Rahman menegaskan bahawa haram hukumnya memberi undi pada parti yang menolak hudud yang merujuk pada PKR dan kenyataan tersebut disokong oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mat Sabu bagaimanapun semalam menjelaskan bahawa PAS Permatang Pauh telah akur bersetuju untuk berkempen menyokong Wan Azizah dalam satu sidang media kontroversi di sini apabila enggan menjelaskan sebab PAS Permatang Pauh bertukar fikiran membuat "pusingan U".

Sementara itu, Pemuda PAS Pulau Pinang pula dikatakan gagal "dipujuk" dan bertegas memboikot PRK Permatang Pauh serta melarang anggotanya terlibat dalam kempen menyokong Wan Azizah dalam kempennya kali ini. -Kedahnews.com