Hudud: Satu Cabaran Perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam

Pengerusi Sekretariat Hudud Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan
POLEMIK mengenai hudud di Malaysia tidak pernah surut. Kalau sebelum ini ia hanya berlegar dalam kalangan umat Islam tetapi hari ini, ia turut disentuh oleh bukan Islam.

Apa tidaknya, isu itu menjadi kembali panas apabila pada 18 Mac lalu, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan dan kemudiannya diluluskan.

Lebih menghangatkan suasana itu, apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan menghantar surat notis pemberitahuan meminta agar rang undang-undang persendirian berkenaan hudud di bawa ke Parlimen.

Semua pihak, termasuk kalangan mereka yang tidak begitu memahami undang-undang jenayah itu turut sama menyuarakan pandangan atau pendapat mereka terhadap isu berkenaan.

Malah, situasi menjadi lebih bercelaru apabila polemik tersebut turut menunjukkan kita berada dalam keadaan keliru apabila membicarakan isu terbabit.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menyimpulkan bahawa keadaan itu disebabkan ramai orang terkeliru di antara hukum dengan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam tersebut.

Atas sebab itulah, beliau menegaskan bahasa masyarakat umum perlu membezakan di antara perbincangan mengenai hukum dengan pelaksanaan undang-undang itu.

“Apa yang kita bincangkan sekarang ini ialah mengenai pelaksanaannya dan bukan mempersoalkan aspek hukumnya.

“Membangkitkan isu-isu yang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan undang-undang itu bukanlah bermakna menentang hukum,” katanya pada Seminar Pelaksa­naan Hudud di Malaysia-Sejarah dan Masa Depan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZ), baru-baru ini.

Sebahagian dari para peserta yang hadir, di Seminar pelaksanaan hudud di Malaysia: sejarah dan masa depan di Dewan Syeikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, baru-baru ini.
Pada seminar itu, Tun Abdul Hamid membentangkan kertas kerjanya bertajuk, ‘Pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam (hudud, qisas dan takzir) di Malaysia-Prospek dan Cabaran’ pada seminar anjuran Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan MTMZ.

Alat bukan matlamat

Ini jelas dalam kisah Khalifah Umar Ibnu Al-Khattab pernah menggantungkan pelaksanaan hudud semasa berlaku musim kelaparan dan tiada sesiapa pun menuduh Umar menentang hudud, lebih-lebih lagi menentang perintah Allah SWT.

Beliau hanya memutuskan bahawa dalam keadaan tersebut adalah tidak sesuai, bahkan akan membawa kepada ketidakadilan, jika hukuman hudud terus dilaksanakan.

“Ingat bahawa hudud hanyalah alat bukan matlamat. Matlamat Islam adalah keadilan,” katanya.

Tun Abdul Hamid seterusnya menampilkan satu lagi contoh iaitu di Pakistan apabila Ordinan Hudud (Hudood Ordinance) dibuat pada 1979, kesalahan merogol dijadikan kesalahan hudud.

Kemudian, berlaku kes-kes ketidakadilan terhadap wanita-wanita mangsa rogol yang mengandung dan tidak dapat mengemukakan saksi-saksi secukupnya yang berakhir dengan mereka dihukum kerana kesalahan zina. 

“Pada 2006, kesalahan rogol dikeluarkan daripada Ordinan Hudud (Hudood Ordinance) dan dimasukkan semula ke dalam Kanun Jenayah (Penal Code) dan dibicarakan oleh mahkamah sivil sehinggalah sekarang,” katanya.

Sejajar itu, Tun Abdul Hamid mengulas bahawa jika enakmen itu dilaksanakan, ia bakal mengubah struktur pentadbiran undang-undang jenayah di negara ini.

Beliau berkata, negeri-negeri selain dari Kelantan, undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa persekutuan, terpakai kepada orang Islam, bukan Islam dan mahkamah sivil.

Di Kelantan pula, sebahagian daripadanya diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, terpakai kepada orang Islam sahaja dan ditadbirkan oleh mahkamah syariah.

“Sementara, sebahagian lagi terus terletak di bawah bidang kuasa persekutuan, terpakai kepada orang Islam, bukan Islam dan mahkamah sivil.

“Persoalan saya, adakah itu yang dikehendaki oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Cuma dalam berbuat demikian, saya berharap mereka menyedari implikasinya di masa depan,” katanya.

Begitu pun, beliau percaya sama ada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 itu sah atau tidak daripada segi Perlembagaan akan ditentukan oleh mahkamah sivil.

“Ini kerana, ia adalah isu keperlembagaan dan mahkamah yang mempunyai bidang kuasa memutuskannya adalah mahkamah sivil,” katanya.

“USAHA menegakkan Undang-Undang Islam ini ibarat kata Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat iaitu kita naik motosikal dan apabila sampai satu tempat, ada lampu isyarat berwarna merah. Kita berhenti tetapi jangan matikan enjin kerana apabila lampu hijau, kita terus jalan.”

- DATUK TAKIYUDDIN HASSAN,
Pengerusi Sekretariat Hudud Kelantan
Sumber: Utusan