Hudud: "Wasiat" Arwah Ustaz Fadzil Noor Untuk PAS Permatang Pauh?

PERMATANG PAUH - Sekeping poster yang dipercayai telah dihasilkan oleh Pemuda PAS Kedah seolah mengingatkan seluruh pemimpin, ahli dan penyokong PAS di Permatang Pauh berkenaan soal perlaksanaan hudud yang ditentang rakan sekutu mereka, PKR, yang bertanding Pilihanraya Kecil (PRK), di sini.

Poster berkenaan tertulis "Penentang Hudud adalah Penentang Allah" dan turut memaparkan pesanan bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor.

"Siapa yang berusaha menghalang perlaksanaan hukuman Allah sesungguhnya ia telah menentang Allah di dalam urusannya," tertulis di poster berkenaan merujuk pada kenyataan bekas Presiden PAS yang dikatakan telah diucap di Muktamar ke-40 di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada tahun 1994 dulu.

Diyakini bahawa berkemungkinan besar penyebaran poster berkenaan adalah untuk memperingatkan kepada seluruh penyokong PAS dan umat Islam di Permatang Pauh berkenaan pesanan beliau berhubung usaha parti itu untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Usaha melaksanakan hudud di negeri itu bagaimanapun telah ditentang keras oleh rakan sekutu mereka di dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PKR, yang menolak dan membantah enakmen hudud itu walaupun baru sekadar dibentang di peringkat Dewan Undangan Negeri sebelum di bawa ke Dewan Rakyat.

Tindakan DAP dan PKR itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin PAS pro-ulama, termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan majoriti akar umbi parti itu di seluruh negara.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin PAS yang terlibat dalam kempen PRK Permatang Pauh seolah "memaksa" akar umbi PAS di parlimen berkenaan untuk menyokong PKR meskipun mereka enggan berbuat demikian atas pendirian PKR menolak hudud.

Ekoran keengganan PKR untuk menyokong hudud dan meminta maaf atas tindakan biadap mereka menghina Abdul Hadi akhirnya menyebabkan Pemuda PAS Pulau Pinang mengisytihar boikot terhadap PRK di Permatang Pauh.

Pemuda PAS turut meluahkan rasa kecewa mereka terhadap beberapa pemimpin PAS yang dikatakan bermain helah politik terhadap suara akar umbi parti itu.

PKR dalam kenyataan balas berhubung boikot Pemuda PAS Pulau Pinang itu menyatakan mereka malas untuk melayan kerenah sayap PAS itu dan secara sinis menegaskan PKR tidak berurusan dengan pihak bawahan parti berkenaan.

Namun, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam kenyataan terbarunya menegaskan mesyuarat AJK PAS Pusat memutuskan untuk mewajibkan semua ahli-ahli PAS untuk menyokong dan membantu PKR di PRK Permatang Pauh. -Kedahnews.com