Hukum Menggunakan Harta Syarikat Sesuka Hati..!

Gambar Hiasan
DALAM pekerjaan kadang-kala kita tidak sedar telah menggunakan harta syarikat seperti mencetak kertas bagi tujuan peribadi, menggunakan internet luar daripada tugasan atau melakukan urusan peribadi pada waktu kerja dan sebagainya. Apakah hukum melakukan perkara itu, adakah ia dikira menyeleweng harta syarikat. Bagaimana cara untuk kita membayar atau menebus kembali kesalahan itu?

JAWAPAN:

Pekerja dibayar gaji dan upah untuk melakukan kerja yang telah ditetapkan. Adapun pekerjaan peribadi pekerja, ia tidak termasuk dalam skop tugasan kerja syarikat. Maka seseorang pekerja yang menggunakan harta syarikat untuk kegunaan peribadi maka pekerja tersebut telah melakukan kesalahan.

Contohnya menggunakan mesin fotostat untuk kegunaan peribadi, mengambil alat tulis syarikat yang masih elok untuk digunakan di rumah bukan dengan tujuan syarikat dan sebagainya. Jika syarikat membenarkan penggunaan harta syarikat dengan bayaran tertentu maka hukumnya adalah harus.

Namun hendaklah dipastikan bahawa bayaran dibuat dengan baik. Contohnya penggunaan mesin fotostat dengan bayaran 5sen sekeping, maka hendaklah jumlah bayaran bertepatan dengan jumlah kertas yang difotostat.

Hari ini, ramai insan tidak menyedari perkara ini. Mereka menggunakan harta syarikat, harta pejabat, harta negara dan sebagainya untuk kegunaan peribadi. Tindakan ini adalah salah dalam hukum syariah.

Khalifah Umar Abdul al-Aziz menunjukkan contoh yang terpuji dalam hal ini. Dikisahkan bahawa beliau menggunakan lampu daripada biaya harta negara jika urusan umat dan negara, namun jika urusan peribadi dan urusan keluarga maka beliau menggunakan harta beliau sendiri.

Setiap kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Maka janganlah kita menggunakan harta syarikat dan harta negara untuk tujuan peribadi. -Utusan