Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa |
SEGAMAT – Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengakui dirinya kini
dalam dilema dengan keputusan beberapa PAS kawasan yang mencalonkannya
bagi jawatan Presiden PAS pada pemilihan parti itu akan datang.
Husam berkata pada masa yang sama beliau perlu memikirkan perasaan
dan hak anggota parti yang telah membuat pencalonan itu walaupun dirinya
masih berbelah bahagi untuk memberikan kata putus.
“Memang saya dalam keadaan dilema. Saudara tidak perlu bertanya panjang-panjang (mengenai perkara itu).
“Ini masa ahli menyuarakan perasaan mereka. Saya sebagai pemimpin
tidak boleh bertindak atas diri saya sendiri,” katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Segamat di sini, hari
ini.
Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Segamat, Firdaus Mashod.
PAS kawasan itu hari ini mencalonkan Husam bagi jawatan Presiden PAS
manakala Mohamad Sabu dicalonkan untuk terus kekal bagi jawatan Timbalan
Presiden PAS.
Tiga Naib Presiden pula, kawasan itu mencalonkan Dr Dzulkefly Ahmad, Ustaz Idris Ahmad dan Datuk Dr Mujahid Yusof.
Mengulas perkara itu, Husam yang merupakan bekas Exco kerajaan
Kelantan berkata buat masa ini biarlah anggota parti membuat keputusan
masing-masing dan apabila tiba masanya kelak, beliau akan membuat
keputusan muktamad mengenainya.
“Tidak semestinya saya membuat keputusan itu sekarang. Jika saya kata
tidak bertanding saudara kena fikirkan perasaan ahli. Apa kata mereka.
Ini masa untuk ahli suarakan hak mereka.
“Saya sendiri pun tidak pernah menghitung berapa jumlah pencalonan
untuk saya sehingga kini. Saya sendiri tidak pernah mempunyai sebarang
rencana politik,” katanya.
Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd
Amar Nik Abdullah semalam yang mendedahkan amanat terakhir bekas
mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu
anggota parti itu mewujudkan hubungan baik dengan Umno, Husam berkata:
“Saya tidak periksa kenyataan beliau (Mohd Amar) betul atau tidak
berkata begitu.
“Saya takut salah petik nanti tidak adil kepadanya. Kalau siasat dan betul kata begitu, baru saya akan komen,” katanya.
Mohd Amar dilaporkan berkata bekas menteri besar Kelantan itu meminta
beliau dan ahli parti tidak mengkritik Umno kerana pihaknya perlu
berurusan dengan parti itu antaranya mengenai pelaksanaan hudud di
Kelantan. – BERNAMA