Gambar Hiasan |
KULIM – Seorang ibu tunggal dan anak lelakinya nyaris maut apabila
rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Batu 2
1/2 Jalan Lunas, Kampung Sungai Badak, Kilang Lama, di sini, tengah
malam tadi.
Habsah Ghazali, 41, pekerja kilang berkata dalam kejadian pada 12.45
tengah malam itu, api dipercayai bermula dari tingkat atas rumahnya
sebelum merebak ke tempat lain.
Menurut Habsah, rumah milik keluarganya itu didiami bersama empat anaknya sejak pemergian suami tiga tahun lepas.
Namun, ketika kejadian hanya anak bongsu, Haris Afandi Ismail, 12,
tinggal bersama saya kerana tiga lagi anak berada di asrama, katanya
kepada Bernama di sini.
Dua beranak itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hitech Park
Penolong Penguasa Mohd Azizi Abdullah berkata panggilan mengenai
kejadian itu diterima pada 12.52 tengah malam dan sebuah jentara bersama
13 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan rumah 2 tingkat
Kelas B berkeluasan 10mx15m, api telah merebak 90 peratus sebelum dapat
dikawal pada 1.15 pagi dan operasi berakhir pada 2 pagi,” katanya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya. – BERNAMA