"iLuvQuran" Pendidikan Terbaik Bentuk Generasi Baru Cintakan Islam

pelajar iLuvQuran
KUALA LUMPUR – Jika anda menghampiri pintu masuk pusat tahfiz iLuvQuran di Wangsa Melawati di sini, anda akan disambut oleh replika Menara Berkembar Petronas yang dibina daripada botol-botol air mineral.

Menara itu adalah hasil kerja para pelajar berdasarkan pengajaran daripada surah Al-Buruj daripada Al-Quran. Selain aktiviti seni dan kraf, terdapat aktiviti seperti lakonan, kuiz dan membuat ‘cup cake‘.


PENDEKATAN POSITIF MESRA KANAK-KANAK

Pengasas pusat itu, Faiz Sahri berkata pihaknya berusaha mewujudkan suasana yang positif, seronok dan mesra untuk kanak-kanak belajar.

Selain mengaplikasi tiga kaedah pembelajaran iaitu secara visual (penglihatan), auditori (pendengaran), kinestetik (pergerakan otot dan sendi), iLuvQuran turut menitikberatkan aspek kebijaksanaan emosi.

Beliau mengambil contoh satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik Muslim di Barat terhadap kanak-kanak kecil yang menganggu ibu bapanya bersolat.

Menurut Faiz hasil kajian itu mendapati bahawa kanak-kanak yang diangkat dan dipeluk ibu bapa walaupun ketika bersolat, akan lebih tekun dan mudah mengamalkan ibadah itu apabila mereka remaja.

“Ini dikaitkan dengan ‘positive association‘ kanak-kanak itu dengan solat. Secara luar sedar mereka telah memupuk satu emosi positif kepada ibadah tersebut.

"Ini berbanding kanak-kanak yang tidak dihiraukan ibu bapa ketika bersolat sehingga ada yang menangis. Malah amalan bersolat sambil mendukung anak adalah sunnah Rasullullah,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berharap apabila anak merasa seronok di dalam kelas, mereka akan mempunyai memori dan emosi yang positif terhadap Al-Quran.

“Secara tidak langsung, cara ini dapat menimbulkan rasa rapat dengan Al-Quran dalam diri anak, agar mereka tidak dibayangi perasaan asing atau takut, sama ada secara sedar atau tidak, untuk lebih mendalami kitab suci itu apabila dewasa kelak,” katanya lagi.

Di iLuvQuran pelajar juga diperuntukkan masa 10 hingga 15 minit untuk bebas bermain sebelum kelas bermula bagi mereka melepaskan tekanan setelah penat belajar di sekolah biasa.


AKTIVITI BANTU KEFAHAMAN

Ustazah Marwah Saari berkata aktiviti dijalankan meliputi 40 peratus daripada keseluruhan kelas bagi kanak-kanak berumur 5-8 tahun, turut bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar bagi ayat yang sedang dihafal.

Kefahaman ayat disesuaikan dengan tahap penerimaan kanak-kanak, dan lebih menjurus kepada penerapan nilai-nilai asas tauhid dan akidah seperti keyakinan kepada Allah selain pembentukan akhlak yang baik.

Bagi setiap surah, beliau yang kini berusia 28 tahun akan cuba mencari sesuatu subjek yang boleh dikaitkan dengan kehidupan anak didiknya.

“Saya yakin setiap ayat yang diturunkan itu, kalau kita selami ia boleh mencakupi untuk seluruh sudut dalam kehidupan. Mungkin kita kata anak masih terlalu kecil untuk belajar ini (memahami Al-Quran).

“Tapi sebenarnya mungkin cara kita mengajar yang tidak betul,” jelas beliau yang memegang ijazah dalam jurusan Fiqh wa Usuluhu daripada Universiti WISE Jordan.


HAFAL Al-QURAN SECARA SAMBILAN

Beroperasi hampir dua tahun, institusi ini menyediakan kemudahan untuk ibu bapa menghantar anak menghafal Al-Quran secara sambilan.

“Selalunya jika orang berfikir mengenai hafalan Al-Quran, biasanya ialah seseorang itu kena buat secara sepenuh masa. Kena duduk di asrama dan dari pagi sampai petang belajar Al-Quran sahaja.

“Tetapi di sini, menghafal boleh dibuat secara sambilan, tidak perlu duduk di satu tempat seperti di asrama dalam jangka masa lama,” kata seorang lagi tenaga pengajar muda, Ustaz Abdul Fatah Zainuddin, 26 tahun.

Menurut hafiz Quran lulusan bidang Takhasus Qiraat Universiti Al-Azhar Mesir itu, aktiviti yang diadakan membantu pelajar kekal fokus selama kira-kira dua jam kelas berlangsung.

Ini berbanding kaedah menghafal biasa iaitu secara pengulangan sahaja.


PROFESIONALISME

Sementara itu, pengasas bersama, Cik Nur Zahirah Sukran berkata pihaknya amat mementingkan profesionalisme dan mahu memperkenalkan satu sistem menghafal dan pembelajaran Al-Quran yang sistematik.

“Kami ada berniat buka kelas tafsir Al-Quran untuk orang dewasa, tetapi kebanyakan ustaz atau ustazah masih mengamalkan cara lama dalam pembelajaran iaitu secara santai dengan merujuk kepada sesuatu kitab.

Apabila diminta untuk mereka sediakan satu modul dan kurikulum yang terancang, lengkap dan mempunyai objektif, mereka tidak dapat sediakan,” luahnya.

Pihaknya turut berhasrat untuk mengangkat golongan hafazan sebagai tenaga kerja profesional.

Di samping berusaha menyediakan gaji bersesuaian, khususnya dengan kos kehidupan di kota, Zahirah berkata tenaga pengajar diberi tanggungjawab untuk membangunkan modul pembelajaran sendiri dan mengetuai sesuatu unit atau jabatan.

Selain Wangsa Melawati, iLuvQuran juga memiliki cawangan di Bangi dan Saujana Utama. Tahfiz berkenaan antara lain menawarkan tiga tahap kelas iaitu QBabies/QBeginners untuk kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun, Quranic Seedlings (5 hingga 8 tahun) dan Junior Al-Hafiz (7 hingga 12 tahun). – BERNAMA