Imam Maut Kemalangan, Kereta Rempuh Pokok.. Al-Fatihah

Keadaan kereta mangsa yang merempuh sebatang pokok di kilometer dua, Jalan Tampin-Seremban. Gambar kecil: Muhamm ad Aliff Nur
TAMPIN – Imam Masjid Jamek Rahang di Seremban atau lebih dikenali Masjid Benggali, maut selepas kereta dipandunya merempuh sebatang pokok di kilometer 2, Jalan Tampin-Seremban, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, Muhammad Aliff Nur Mohd Hussin, 22, dikatakan memandu sendirian dalam perjalanan dari Rahang ke Tampin sebelum keretanya terbabas melanggar pokok di bahu jalan.

Menurut sepupu mangsa, Mohd Hasan Basri, 19, Muhammad Aliff yang juga seorang tahfiz, dipercayai dalam perjalanan menjemput ibunya, Hajrah Abdul Rahman, 46, yang berada di rumah saudara mereka.

“Kebiasaannya mereka sekeluarga sering mengunjungi rumah saudara di Tampin dan Muhammad Aliff mahu menjemput maknya pulang pada malam kejadian kerana pada keesokan harinya dia perlu mengimamkan solat Subuh di masjid.

“Bapa saudara atau ayah Muhammad Aliff kini berada di Bangladesh menjalankan peranannya sebagai tabligh sejak empat bulan lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Pegawai Bomba Kanan II Roslan Sahrani berkata, bomba bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan daripada orang awam.

“Mangsa tidak tersepit tetapi berada di dalam kereta yang remuk teruk akibat merempuh pokok dan bomba hanya mengambil masa dua minit untuk membawa mangsa keluar dari kereta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Proton Iswara terbabas semasa menuruni bukit.

“Mangsa dipercayai terbabas ke kanan jalan lalu merempuh sebatang pokok menyebabkan dia yang cedera parah maut di tempat kejadian sebelum di hantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

“Sehubungan itu, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali di talian 06-4411222,” katanya.

Menurut Kooi Cheang, kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Sinar Harian