Imigresen Kedah Cekup 4 Warga Asing Di Hotel

ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan empat Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dan seorang lelaki warga tempatan menerusi 'Ops Sapu' di sebuah hotel di Changloon, Kubang Pasu, petang semalam.
 
Pengarahnya, Mohamad Yusri Hashim berkata, dalam pemeriksaan pada 3.05 petang itu, pihaknya menahan tiga lelaki Myanmar, seorang wanita Indonesia dan seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai majikan kepada empat Pati berkenaan.
 
"Empat Pati yang ditahan berumur antara 24 hingga 52 tahun manakala warga tempatan yang ditahan berumur 27 tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
Beliau berkata, semua Pati ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) manakala warga tempatan ditahan atas kesalahan Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi Pati.
 
Sementara itu, Mohamad Yusri berkata pihaknya juga telah mengusir sebanyak 89 Pati melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6 petang semalam.

Mereka terdiri daripada 30 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki Pakistan, tujuh lelaki Sri Lanka, seorang lelaki Nigeria, 30 lelaki Myanmar, 15 wanita Myanmar, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar berumur antara satu dan 50 tahun, katanya.
 
Kesemua mereka ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan Per. 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 itu Per. 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
 
Menurut Mohamad Yusri, Pati berkenaan telah menjalani hukuman di Penjara Alor Setar, Pokok Sena dan Sungai Petani antara satu dan tiga bulan. - Bernama