Indeks Jenayah Dikurangkan 40 Peratus Dalam 5 Tahun

KUALA LUMPUR — Sebanyak 40 peratus indeks jenayah berjaya dikurangkan sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Laporan Tahun 2014 GTP dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) di sini, malam ini, berkata masih banyak usaha perlu dilakukan untuk membanteras jenayah.

“Di dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah, kini, kita bersyukur bahawa kadar indeks jenayah negara di bawah GTP, telah berjaya dikurangkan sebanyak 40 peratus dalam tempoh 5 tahun lepas.

“Apa yang mustahak, usaha untuk mengurangkan kadar jenayah akan diteruskan,” katanya.

Menurut Najib, bagi 2014, kes kecurian kereta telah berkurangan kepada hampir 20 peratus dan ini merupakan kali pertama penurunan trend jenayah kecurian kereta semenjak NKRA diperkenalkan.

Jelas beliau, kerjasama antara Polis Diraja Malaysia dengan komuniti tempatan dan agensi kerajaan akan diperhebatkan lagi demi mewujudkan persekitaran yang aman untuk diduduki oleh rakyat, dikunjungi pelancong serta diyakini oleh para pelabur.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata di bawah NKRA Membanteras Rasuah, kedudukan Malaysia telah bertambah baik dengan skor Indeks Persepsinya meningkat daripada tangga 44 pada 2010 kepada tangga 52 pada 2014 daripada kalangan 175 negara.– BERNAMA