Indonesia Bengang Tony Fernandes Buat "Cerita Lain" Lepas Jumpa Jokowi

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes
JAKARTA – Menteri Perhubungan Indonesia, Ignasius Jonan pada Jumaat kesal dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang ‘cerita lain’ selepas bertemu Presiden Joko Widodo di Istana Negara pada Khamis.

Jurucakap kementerian itu, Hadi M. Djuraid berkata, Jonan tersinggung dengan dakwaan Fernandes kononnya pemerintah Indonesia dijangka memberi keizinan semula kepada AirAsia untuk beroperasi di laluan Surabaya-Singapura yang dibekukan.

“Jonan tidak pernah berbicara langsung mengenai pembukaan semula laluan itu sejak digantung susulan tragedi QZ8501 pada 28 Disember lalu yang mendapati AirAsia tiada kebenaran rasmi untuk terbang antara dua destinasi tersebut,” kata Hadi.

Sebaliknya apa yang berlaku, Jonan mengiringi Fernandes untuk pertemuan secara tertutup dengan Jokowi dan Menteri Pelancongan, Arif Yahya di halaman Istana Negara, malah mereka tiada berbincang apa-apa pun mengenai laluan Surabaya-Singapura.

“Presiden juga tidak bercakap sebarang perkara berhubung AirAsia dan Jonan kesal dengan dakwaan sebelah pihak Fernandes yang tidak berasas,” jelas Hadi sambil menegaskan, Indonesia masih menunggu laporan siasatan akhir nahas pesawat malang itu.

PK-AXC.jpg
Pesawat AirAsia Indonesia dengan pendaftaran badan PK-AXC yang digunakan untuk penerbangan QZ8501 sebelum terhempas akhir 2014. – Gambar hiasan
Jonan berharap, laporan oleh Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan dapat diumumkan pada pertengahan 2015 sebelum pihak kementerian itu memutuskan untuk membuka kembali laluan Surabaya-Singapura kepada AirAsia Indonesia.

Pesawat jenis Airbus A320 itu dikesan pada 3 Januari lalu di dasar perairan Selat Karimata, Laut Jawa dekat wilayah Kalimantan Tengah mengorbankan kesemua 162 penumpang dan anak kapal, namun cuma 106 mayat yang berjaya ditemui.

Pada Khamis, Fernandes ketika ditemui pemberita di luar Istana Negara mendedahkan, syarikat penerbangan tambang rendah berpusat di Malaysia itu membincangkan penarikan semula status pembekuan laluan tersebut dengan Presiden Jokowi.

“Kami berbincang kerana Bapak Arif ada menyebut, sektor pelancongan di Surabaya jatuh 15 peratus sejak AirAsia tidak terbang ke bandar raya itu, padahal laluan Surabaya dan Medan paling padat serta ada permintaan tinggi pelancong asing,” kata Fernandes.

Justeru, beliau memberi ‘isyarat’ bayangan kemungkinan laluan itu dapat beroperasi semula dalam masa terdekat bagi memenuhi industri pelancongan tempatan yang menerima kesan teruk ekoran penggantungan penerbangan AirAsia. – Agensi