KUALA LUMPUR – Inilah ASEAN sebenarnya, ketika ini dan di sini,
dengan proses pembinaan komuniti dan integrasi ekonomi disuburkan untuk
menjadikan ASEAN yang inklusif, berani dan melihat ke depan untuk
perkumpulan itu dan warganya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Sidang
Kemuncak ASEAN ke-26 di sini Isnin, menekankan tahun 2015 akan menjadi
sejarah kejayaan ASEAN apabila visi mewujudkan komuniti tunggal menjadi
kenyataan menjelang akhir tahun.
“Inilah ASEAN sebenarnya, ketika ini dan di sini. Marilah kita
bekerja bersama-sama untuk memastikan apabila kita bercakap mengenai
Alaf Asia, ia juga Alaf ASEAN,” tegas Najib.
Beliau juga berkata semasa Malaysia memegang keistimewaan untuk
mempengerusikan ASEAN pada tahun yang penting untuk organisasi itu,
kumpulan serantau ini perlu meneruskan usaha untuk mewujudkan Komuniti
Ekonomi ASEAN (AEC).
Beliau menegaskan bahawa sekarang adalah masa untuk blok 10 anggota
itu mencari jalan supaya ASEAN menjadi dan dilihat lebih sepakat dalam
politik.
“Pelabur antarabangsa sudah lama tertarik ke India dan China. ASEAN
boleh dan wajar meletakkan dirinya sebagai ‘kuasa ketiga’ di rantau ini
dan dengan kesepaduannya yang nampak dengan jelas, dapat membantu kita
menjayakannya,” katanya.
Menyentuh mengenai cadangan zon waktu seragam, Najib berkata jika
idea itu diterima oleh ASEAN untuk keseluruhan rantau itu, ia merupakan
simbol perpaduan ASEAN, selain baik untuk perniagaan.
“Tambahan pula, potensi kita sangat besar. Kita mempunyai tenaga
kerja ketiga terbesar di dunia. Kita mempunyai tenaga muda berbakat dan
bilangan penduduk mahir yang semakin meningkat, yang melebihi 600 juta
orang.
“Bilangan penduduk kelas pertengahan yang semakin meningkat
menjadikan kita sebagai antara rantau paling dinamik dan menarik,
mendorong sebuah penerbitan, pada minggu lepas, bertanyakan sama ada
ASEAN merupakan ‘pelaburan paling panas’ di Asia, katanya.
Najib juga berkata berikutan halangan perdagangan oleh AEC dimansuhkan, ia turut meliputi pengurangan tarif.
“Ia mesti meliputi pemansuhan halangan bukan tarif seperti peraturan
yang terlalu membebankan yang menjejaskan perdagangan bebas dan
saksama,” katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ASEAN mesti meningkatkan
program untuk menyeragamkan standard, menambah pasaran modal dan
penyepaduan kewangan serta mempromosi pergerakan barangan, perkhidmatan,
pelaburan dan bakat secara lebih bebas antara negara.
“Hasil pembaharuan itu akan lebih transformatif,” katanya dan
menambah jika dagangan sesama ASEAN ditingkatkan kepada 40 peratus
daripada 24 peratus, ekonomi ASEAN akan meningkat dengan ketara kepada
US$2.5 trilion setahun.
“Potensi pertumbuhan ini bermakna peningkatan ekonomi dan taraf hidup
rakyat kita. Dan ‘hadiah’ itu dalam genggaman kita,” katanya.
Menyentuh visi penubuhan ASEAN seperti yang diasaskan pemimpin
pengasas kumpulan itu menerusi Deklarasi Bangkok, Najib berkata ia telah
merapatkan hubungan penduduk di rantau itu.
“Dan, kita mesti memastikan hubungan ini terikat dan idea hebat ASEAN
menjadi realiti secara peribadi kepada semua warga kita,” katanya.
Memetik contoh mengenai usaha mengeluarkan rakyat Malaysia dari Yaman
yang kini bergolak, Najib bangga kerana proses itu turut dijalankan
oleh kerajaan-kerajaan ASEAN, yang turut membantu warga negara yang
lain.
Malaysia sendiri membantu mengeluarkan rakyatnya bersama warganegara
ASEAN termasuk dari Singapura, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.
“Inilah semangat ASEAN,” katanya.
Najib bagaimanapun mengakui bahawa perbezaan, yang diharapkan kecil,
pasti wujud, memandangkan rantau ini kaya dengan pelbagai etnik, budaya
dan agama.
Bagaimanapun Malaysia yang mempengerusikan ASEAN tahun ini, yakin
perbezaan pendapat boleh ditangani menerusi sikap toleransi,
persefahaman dan hormat-menghormati, yang mencerminkan cara sebenar
ASEAN.
Sambil menarik perhatian terhadap kemajuan proses damai Bangsamoro,
Najib menjelaskan mengenai pentingnya konflik dalaman ditangani dalam
ASEAN supaya ia benar-benar melambangkan ia sebuah komuniti.
Mengulas mengenai Komuniti ASEAN, Perdana Menteri berkata ASEAN
bertanggungjawab merangka dokumen pelan tindakan untuk mewujudkan
Komuniti ASEAN.
“Ini (dokumen) akan menyediakan asas mengenai kaedah untuk kita
memperkukuh integrasi dalam tempoh 10 tahun akan datang, sehingga 2025,”
katanya.
Najib berkata ASEAN berpusatkan ASEAN bermaksud warga di rantau ini merasakan mereka bukan sekadar sebahagian daripada ASEAN.
“Tanpa mengira siapa mereka – daripada pesawah, sehingga pedagang
mata wang, pemilik perniagaan halal, nelayan dan jurutera elektronik –
warga kita sebenarnya merasakan mereka ASEAN, dan masa depannya
merupakan masa depan mereka.
“Bagi merealisasikannya, kita mesti melibatkan mereka dan sentiasa mendengar (pandangan) mereka,” kata Najib.
Najib berkata ASEAN juga yakin organisasi dan individu cemerlang yang
telah membuat sumbangan besar dalam proses pembangunan komuniti
sepanjang tahun, wajar diperakui dan diumumkan.
“Berdasarkan hakikat ini, saya bangga mengumumkan pada Sidang
Kemuncak ASEAN ke-27 tahun ini, kita akan menganjurkan ‘Anugerah Warga
ASEAN’ pertama, bagi meraikan mereka yang telah melakar kecemerlangan,”
katanya.
Najib mengingatkan bahawa ASEAN berpusatkan rakyat bermatlamat
memberi manfaat kepada warga dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
Hadirin pada majlis perasmian itu termasuk pemimpin dan perwakilan
negara anggota ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN Le Luong Minh serta
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri-menteri
Kabinet.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang bermula Ahad, bertema ‘Warga Kita,
Komuniti Kita, Visi Kita’ berlangsung di Kuala Lumpur dan Langkawi.
Malaysia yang menjadi tuan rumah kali keempat, sebelum ini
mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN, masing-masing pada 1977, 1997 dan
2005. – BERNAMA