Inilah Istana Cinta Posmen Di Rome...

SEKILAS pandang ia kelihatan seperti Angkor Wat di Kemboja.
Rome tidak dibina dalam masa sehari, begitu juga dengan seorang posmen luar bandar Ferdinand Cheval yang mengabdikan diri selama 33 tahun untuk membina istana batu kapur, lengkap dengan tiang dan ukiran pelik.

Duda itu akan mengumpulkan batu berbentuk ganjil sepanjang menjalankan tugasnya, menghantar surat di sebuah daerah di Perancis dan setiap harinya akan berakhir dengan dia menolak kereta sorong penuh dengan batu menarik sejauh 29 kilometer.

Bermula dengan hobi kecil-kecilan, ia akhirnya menjadi projek sepanjang hidup pada 1879 dan menjadi antara struktur seni bina amatur mengagumkan hingga kini - Le Palais idÈal.

Cheval berhenti sekolah ketika berusia 13 tahun dan menjadi pelatih pembuat roti tetapi berakhir dengan menjadi posmen di kawasan Hauterives.

Idea membina bangunan itu muncul selepas dia jatuh kerana tersadung batu berbentuk luar biasa ketika berusia 30-an.

UKIRAN makhluk mitos yang ditampilkan pada Le Palais Ideal.
Dia menulis dalam jurnalnya: “Saya mahu tahu puncanya. Saya bermimpi membina istana, kubu atau gua. Saya tidak memberitahu sesiapa kerana bimbang dicemuh. Saya juga rasa ia mengarut.

“Saya berkata pada diri saya, kerana Tuhan sudah membuat skulpturnya, saya akan membinanya.”

Cheval menyorong batu ke sebuah kawasan di Hauterives setiap hari selepas kerja dan akhirnya memulakan projek yang memakan masa 33 tahun, disiapkan tanpa bantuan sesiapa.

Dia bekerja sehingga malam dengan bantuan cahaya lampu minyak.

Kerana banyak menghabiskan masa untuk projek itu, duda berkenaan menyerahkan anaknya kepada keluarga angkat supaya dia boleh memberikan tumpuan pada kerjanya.

Tembok luar bangunan itu berukuran 24 meter panjang, 10 meter tinggi dan mengambil masa 22 tahun untuk siap.

Le Palais idÈal begitu rumit dan ia termasuk skulptur haiwan eksotik serta mitos. Cheval memperoleh ilham itu menerusi poskad yang dihantarnya.

CHEVAL mengambil masa selama 33 tahun untuk menyiapkan istana ini bersendirian.
Dia minta supaya dikebumikan di bangunan itu apabila mati kelak.

Bagaimanapun, permintaannya ditolak, menyebabkan dia membina sendiri pusara untuk dirinya di tanah perkuburan tempat dia dikebumikan selepas mati pada 1924, setahun selepas istana berkenaan siap.

Selepas 100 tahun dibina, struktur itu sehingga ini menggamit pelancong. Malah ia dijadikan gambar dalam setem Perancis pada 1986.

Mungkin penjelasan paling memilukan untuk senibina ini ialah kata-kata yang diukir oleh Cheval pada istana itu: ‘Impian seorang lelaki.’






















Sumber: myMetro