NEW YORK — Seorang hakim Amerika Syarikat (AS)
mengeluarkan keputusan yang membenarkan sejumlah bas di bandar raya New
York menampilkan iklan kontroversi ‘promosi’ pembunuhan kaum Yahudi oleh
umat Islam.
Akhbar-akhbar tempatan melaporkan, keputusan itu menolak tuntutan
Lembaga Pengangkutan Metropolitan (MTA), menentang paparan iklan
tersebut dengan alasan, ia menggalakkan terorisme dan jenayah kekerasan.
Namun, hakim John Koeltl menolak hujah peguam MTA itu dan menyatakan
iklan tersebut dilindungi di bawah prinsip asas menurut perlembagaan AS
yang ‘mengagungkan’ hak kebebasan bersuara oleh setiap warganegara.
Iklan itu dibiayai badan sukarela tempatan, American Freedom Defense Initiative (AFDI) yang diasaskan sejak 2010, malah sudah lama terpampang pada sejumlah bas awam di pusat bandar Chicago dan San Francisco.
AFDI yang asalnya dikenali sebagai Stop Islamization of America
ditubuhkan di Texas bagi menghasut rakyat AS benci kepada ajaran Islam
sebagai agama pengganas susulan insiden berdarah pada 11 September 2001
lalu.
Menerusi iklan tersebut, seorang lelaki dengan kepala dan wajah yang
ditutupi serban membuat ancaman ekstremisme itu dan di sebelahnya ada
keratan imej video dari anggota pejuang Hamas di Palestin.
Paparan ayat iklan celupar itu berbunyi: “Membunuh kaum Yahudi adalah
ibadah yang mendekatkan kita kepada Allah” serta pertanyaan berbaur
sinis: “Itu adalah jihad dia. Bagaimana pula jihad anda?”
Koeltl dalam penghakimannya menyatakan meskipun iklan itu sensitif
terhadap isu keselamatan, MTA telah meremehkan sikap toleransi warga New
York dan memperbesar-besarkan impak potensi pada iklan tersebut.
MTA, kata hakim, terlalu mudah menganggap bahawa penduduk New York
akan ‘termakan’ hasutan untuk melakukan kekerasan, walhal iklan sama
tiada pula berlaku apa-apa keganasan di Chicago dan San Francisco.
Beliau bagaimanapun menunda pelaksanaan keputusan kes itu sehingga 30
hari bagi membolehkan peguam MTA untuk mengemukakan rayuan balas kepada
peringkat mahkamah AS yang lebih tinggi jika ada keperluan.
Jurucakap MTA, Adam Lisberg ketika ditemui pemberita di luar mahkamah
New York menyatakan, “Kami berasa amat kecewa terhadap keputusan hakim
itu dan sedang mengkaji langkah-langkah selanjutnya”.
AFDI pada 2012 pernah memasang iklan kontroversi untuk sejumlah tren
kereta api bawah tanah New York Subway yang menyeru masyarakat menyokong
Israel bagi melawan jihad pejuang Palestin. – Agensi