Israel Dakwa Hamas Latih Pelajar Palestin Di Malaysia

Sebuah akhbar Israel, Haaretz, melaporkan bahawa perisikan rahsia Israel, Shin Bet telah mendedahkan maklumat tentang dakwaannya sebelum ini bahawa Malaysia kononnya telah dijadikan tempat latihan ketenteraan oleh Hamas untuk pelajar Palestin.

Terdahulu, Malaysia telah menafikan desas-desus dari pihak Israel bahawa gerakan tersebut membuat latihan paragliding di negara ini.

Namun kali ini, dakwaan tersebut telahpun menjadi tuduhan yang difailkan bulan lalu terhadap seorang penduduk Hebron, Waseem Qawasmeh yang ditangkap pada 13 Februari selepas pulang dari Malaysia.

Pemuda berusia 24 tahun itu didakwa menyertai sebuah organisasi haram dan menerima sejumlah wang dari musuh.

Selain itu, Shin Bet turut menuduh pejuang Hamas yang berada di Malaysia aktif dalam merekrut pelajar Palestin di sini untuk dijadikan tentera.

Dalam dakwaan tersebut juga, ia mengatakan bahawa pelajar yang telah selesai menjalani latihan akan dihantar ke Tebing Barat dan mendirikan rangkaian ketenteraan.

Malah mereka turut bertindak sebagai penghantar maklumat antara wilayah dan negara asing dan turut melakukan pemindahan wang secara rahsia.

Pada musim panas lalu, Israel telah menerbitkan maklumat daripada soal siasat oleh ahli pasukan bawah tanah Hamas di Gaza yang mendakwa dia telah melakukan latihan paragliding di Malaysia supaya dapat masuk ke Israel bagi menjalankan aktiviti pembunuhan dan penculikan.