Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-163 di Istana Iskandariah hari ini. - Foto BERNAMA |
Sultan Nazrin bertitah baginda amat sensitif akan aspek perbelanjaan
dan pada setiap kali disembahkan taklimat, baginda mengingatkan anggota
jawatankuasa agar memastikan elemen bermewah-mewah dan bermegah-megah
dihindarkan daripada berlaku.
“Istiadat ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memperingatkan kembali
warga akan sejarah negara bangsanya yang memiliki tamadun dan telah
membina tamadun bangsa, berlandaskan adab bertiangkan adat.
“Sebagai Sultan yang telah dipilih oleh Dewan ini, beta wajib
memenuhi tanggungjawab untuk memelihara adab dan adat yang telah
diwariskan turun temurun sejak daripada Sultan Perak yang pertama,”
titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-163 di Istana
Iskandariah di sini hari ini.
Baginda bertitah setiap negara ada adabnya yang melibatkan aspek
moral, perilaku, perbuatan baik, kesantunan, kesopanan dan kemanusiaan.
“Kemajuan sesebuah negara bergantung pada warga yang mengamalkan
disiplin yang tinggi, kesusilaan yang terpuji, beradab sopan terhadap
negara dan menghormati lambang kedaulatan negara,” titah baginda.
Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah pertabalan baginda adalah
istiadat yang dianjurkan dengan tujuan untuk menziarahi semula adab dan
adat negeri beraja rakyat bersultan, agar semangat kenegaraan dan
semangat ketatanegaraan dapat difahami dan dihayati oleh rakyat jelata.
“Ia bukan istiadat semata-mata untuk batang tubuh individu seorang
Raja, tetapi ia adalah istiadat menabalkan Raja yang bertakhta, lambang
kedaulatan negara, payung penyatuan warga, sementara Raja Pemerintah
pula turut diamanahkan dengan tanggungjawab sebagai pelindung dan
pemeliharaan kepada adab, adat dan budaya bangsa.
“Raja yang ditabal pemegang watak utama untuk menghubungkan tradisi
dengan modenisasi, menghidupkan kembali sejarah dan keagungan tamadun
bangsanya yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi
beradat, mengandungi komponen-komponen kekayaan sejarah, keagungan
tamadun, kehalusan budi dan keindahan bahasa lalu dijadikan asas untuk
membangunkan sebuah negara bangsa yang berdisiplin, maju, moden lagi
progresif.
“Ia menjadi amat relevan, bertambah relevan malah semakin relevan
ketika masyarakat kini sedang berhadapan dengan pelbagai perbuatan
subversif budaya dan sabotaj budaya,” titah baginda.
Titah Sultan Perak, kebelakangan ini perbuatan mahu mengetepikan adab
malah memijak adat semakin kelihatan yang dipelopori oleh kalangan yang
buta huruf terhadap sejarah negaranya, cetek tentang tamadun bangsanya,
berminda budaya pelarian, minda yang terapung-apung dan minda yang
tidak ada akar budaya lalu melanggar adab dan menyisihkan adat.
“Ia mengingatkan beta kepada pantun Melayu lama, Berburu Ke Padang
Datar, Dapat Rusa Berbelang Kaki, Berguru Kepalang Ajar, Bagai Bunga
Kembang Tak Jadi,” titah baginda.
Baginda bertitah istiadat pertabalan ini adalah peristiwa yang wajib
diusahakan secara bersama-sama untuk membina jati diri rakyat daripada
diresapi oleh racun yang mahu memusnahkan tamadun bangsa.
Sultan Nazrin bertitah baginda mentakrifkan acara yang akan alami
baginda sepanjang istiadat pertabalan itu nanti dapat menyediakan ruang
untuk baginda mengenali lebih dekat rakyat di Perak yang terdiri
daripada pelbagai strata sosial dan ekonomi, pelbagai agama dan kaum
serta usia.
“Istiadat pertabalan ini hendaklah dijadikan platform untuk rakyat
disatukan dalam semangat kenegerian dan kenegaraan, menerima dan
menghormati perbezaan, sama-sama berazam untuk teguh bersatu dalam
kepelbagaian, membina negara bangsa yang bertamadun lagi dihormati,”
titah baginda.
Baginda bertitah Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 akan bermula
dengan istiadat meletak kerja pada 3 Mei 2015 dan berakhir dengan
istiadat menutup kerja pada 17 Mei 2015.
“Beta telah disembah taklimat daripada semasa ke semasa oleh Yang
Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja serta anggota-anggota
Jawatankuasa Pertabalan,” titah baginda. –BERNAMA