Isu "5 Sekawan Pemuda UMNO": Ini Jawapan Azwan Bro...

PERMATANG PAUH - Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun mendakwa tuduhan mengenai "5 sekawan" yang dikatakan mengetuai gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dari jawatan Perdana Menteri sebagai tidak wujud.

Ditemui Kedahnews.com di program "Ziarah Prihatin" anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan menjelaskan dakwaan itu tidak benar dan sama sekali tidak wujud sebagaimana didakwa.

"Tak.. tak wujud," jawabnya Khairul Azwan yang juga dikenali sebagai Azwan Bro.

Enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan berkenaan, Azwan Bro menegaskan bahawa beliau membawa misi membantu Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan pada Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang kini masuk hari ke-6.

Ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan pemimpin-pemimpin utama Pemuda UMNO seolah "lesap" dan enggan berkampung di Permatang Pauh bagi menggempur kubu kuat PKR di sini, beliau menjelaskan mereka terpaksa berulang alik di dua kawasan PRK yang sedang rancak berkempen.

"Kami terpaksa berulang alik.. Sekejap di Permatang Pauh, sekejap di Rompin," katanya cuba menggambarkan betapa "sibuk"nya para pemimpin Pemuda UMNO di Permatang Pauh dan Rompin.

Sebuah portal sebelum ini mendakwa terdapat komplot "5 sekawan" dari kalangan Pemuda UMNO Malaysia yang diketuai Khairul Azwan yang dikatakan cuba menjatuhkan Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Selain itu, ekoran prestasi dan gerak kerja Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, yang dilihat lebih menonjol serta sentiasa berada di parlimen Permatang Pauh aktif menjalankan aktiviti kempen, Pemuda UMNO dikatakan seolah "tenggelam" dan kelibat mereka seolah tidak dapat "dikesan" di sini.

Malah kata dakwaan itu, jawapan Pemuda UMNO yang mengatakan mereka "hilang" di Permatang Pauh dan berada di Rompin adalah tidak munasabah memandangkan maklumat dari Rompin juga memberitahu bahawa kelibat Pemuda UMNO juga tidak kelihatan di sana. -Kedahnews.com