JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan garis
panduan edisi kedua kepada semua penganjur acara hiburan tanah air yang
mana penonton lelaki dan perempuan yang menyaksikan sesuatu acara
hiburan atau konsert di tempat yang sama kini mesti dipisahkan.
Garis panduan yang diterbitkan dalam portal rasmi JAKIM itu
bagaimanapun tidak pula menyatakan bentuk tindakan yang boleh diambil
sekiranya penganjur gagal mengikuti peraturan yang telah ditetapkan itu.
Perkara ini telah diperakui oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 dan 11 Februari lalu.
Antara peraturan-peratuan baharu lain yang disertakan oleh pihak
JAKIM adalah sesebuah acara hiburan yang bakal dianjurkan hendaklah
tidak mengandungi unsur-unsur ritual, tanda atau simbol yang
bertentangan dengan ajaran Islam secara langsung atau tidak langsung.
Selain itu perbuatan yang diharamkan dalam Islam atau maksiat serta
perkara yang boleh mendorong kepada keadaan-keadaan tersebut, keadaan
yang membawa kepada kekacauan atau gangguan terhadap ketenteraman awam,
acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau
permusuhan dan pembaziran dalam penganjuran program.
Sementara untuk golongan artis pula, garis panduan itu menetapkan
mereka mesti memiliki keperibadian yang mulia dan akhlak yang baik sama
ada di luar atau ketika menjayakan persembahan, selain tidak pernah
disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah sama ada mengikut
undang-undang syariah atau sivil.