Jangan Curah Minyak Dalam Api Supaya Lebih Marak

KUALA LUMPUR - Pergerakan Puteri UMNO meminta pihak tertentu supaya tidak menjadi 'batu api' dalam isu kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pada masa kini, semua pihak terutama pucuk pimpinan dan anggota parti UMNO perlu bersefahaman dan meningkatkan kesepakatan menyokong kepimpinan perdana menteri.

"Puteri UMNO harap semua pihak jangan jadi 'batu api' yang menyalakan dan meletakkan minyak supaya jadi api yang lebih marak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO bersama Najib yang juga Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Pada pertemuan itu, sebanyak 178 anggota daripada 191 bahagian puteri hadir termasuk 32 anggota exco pergerakan itu.

Mas Ermieyati berkata pergerakan Puteri yang merupakan 'sayap bongsu' akan bersama-sama Najib bagi meneruskan agenda perjuangan parti dan negara menghadapi cabaran yang jauh berbeza ketika era 1998 terutama media sosial.

Mengenai pertemuan lebih sejam itu, Mas Ermieyati berkata antara isu yang dibangkitkan ialah Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain kes Altantuya Shaariibuu serta masalah parti dan ekonomi.

Beliau berkata pihaknya juga berharap pertemuan itu akan diteruskan lagi pada masa depan bagi menerangkan isu-isu yang berbangkit.

Berhubung isu kritikan Tun Dr Mahathir terhadap kepimpinan perdana menteri, Mas Ermieyati berkata menerusi ucapan alu-aluannya pada majlis hari ini beliau meminta isu berkenaan diselesaikan secara baik, harmoni dan dalam suasana kekeluargaan pada kadar segera.

"Puteri lahir di bawah tangan Tun Dr Mahathir dan kami sayang kedua-dua pemimpin, kami sayangkan parti untuk meneruskan kerja dan tanggungjawab kerana banyak lagi cabaran menanti di hadapan terutama media sosial," katanya.

Mas Ermieyati optimis Najib sebagai ketua pentadbir negara dapat menyelesaikan isu itu dengan cara tersendiri.

Mengenai sokongan UMNO Kedah dan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, katanya, Puteri yakin Mukhriz bersama barisan kepimpinan negeri mempunyai pendirian yang senada untuk menghormati Najib selaku presiden UMNO.

Dalam pada itu, katanya, Puteri sentiasa bersiap-sedia untuk mendekati akar umbi dengan mencari maklumat daripada pihak berkaitan bagi menjelaskan isu tertentu.

"Kami juga akan memberi penerangan di semua peringkat akar umbi termasuk sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh (Pulau Pinang) dan Rompin (Pahang) pada awal bulan depan," katanya.- BERNAMA