HANYA kerana kenyataannya disalah erti dan diputar belit, Timbalan
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dikritik teruk ramai pihak terutamanya
penuntut institusi pengajian tinggi.
Kebanyakan penuntut tidak berpuas hati dengan pandangan Ahmad yang
menyarankan agar mereka memasak sendiri dan mengurangkan aktiviti makan
di luar bagi mengelakkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Namun, luahan tidak puas hati segelintir pihak bertukar menjadi
biadab apabila mereka mengaitkan ibu beliau dengan kenyataan yang
dikeluarkannya itu, malah ada yang memberi gelaran khinzir!
Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, masyarakat boleh membuat kritikan
pedas terhadapnya berhubung isu-isu berkaitan, tetapi bukan terhadap
ibunya yang tidak bersalah.
“Boleh kata apa sahaja kepada saya, malah dengan gelaran paling buruk
juga tidak menjadi masalah tetapi jangan sesekali mengutuk ibu saya,”
ujarnya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, reaksi tersebut tidak wajar kerana ibunya hanyalah individu biasa yang tidak mengetahui apa-apa tentang GST.
“Jangan kaitkan ibu saya dengan GST kerana beliau langsung
tidak ada kena-mengena dengan perkara ini dan untuk pengetahuan, ibu
saya penoreh getah yang buta huruf namun tahu membaca Al-Quran.
“Walaupun hanya menoreh getah, ibu dan arwah ayah saya
menjalankan tugas mendidik saya dan adik-beradik lain dengan baik hingga
kami semua berjaya seperti sekarang,” kata Ahmad.
Sejak akhir-akhir ini, Ahmad menerima banyak tohmahan selepas kenyataannya menimbulkan reaksi negatif dan perasaan tidak senang segelintir masyarakat Malaysia.
Selain isu ‘masak sendiri elak GST’, nama Ahmad turut panas berkaitan isu
harga kad tambah nilai (top up) yang naik sebanyak 6% selepas GST.