BUKIT MERTAJAM – Pengundi dinasihati supaya jangan terpengaruh dengan
hasutan pembangkang dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen
Permatang Pauh, 7 Mei ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib
berkata pengundi seharusnya menggunakan kebijaksanaan mereka memilih
seorang wakil rakyat yang dapat berkhidmat untuk mereka.
Katanya, pembangkang memberikan maklumat yang tidak benar tentang
pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) supaya rakyat membenci
kerajaan.
“Dalam sepanjang karier politik, saya tidak nampak mana-mana parti
selain BN dapat memerintah dan memberikan pembangunan kepada sesebuah
kawasan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis
menyampaikan sumbangan Perkeso dan Jabatan Tenaga Kerja kepada penduduk
di Berapit, di sini hari ini.
Katanya, beliau yakin kerajaan BN akan memberikan kelebihan dari segi
pembangunan infrastruktur kepada penduduk di sini selepas 17 tahun
diwakili calon PKR.
“BN sudah tentu akan menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran yang
lebih supaya penduduk dapat menikmati mutu kehidupan yang lebih selesa,”
katanya.
Ditanya tentang calon PKR, Ismail, yang anggota Parlimen Maran,
berkata mereka menggunakan calon kitar semula seolah-olah tiada orang
lain dalam parti itu.
PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru
dengan calon BN, SuhaimiSabudin, akan ditentang calon PKR, Datuk Seri Dr
wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden parti itu, Azman Shah Othman
daripada Parti Rakyat Malaysia, serta calon Bebas, Salleh Isahak.
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan
menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota
keluarganya, sekali gus menyebabkan ketua umum PKR itu hilang kelayakan
sebagai wakil rakyat. – BERNAMA