PUTRAJAYA – Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini sekali lagi
menegaskan bahawa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah
harus selagi terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat.
Pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Abd Shukor Husin berkata
pelaksanaan sistem cukai baharu itu bagaimanapun perlu berpandukan
kepada enam parameter syarak yang digariskan jawatankuasa tersebut.
Antaranya, kata beliau, kerajaan komited bahawa tujuan kutipan adalah untuk melaksana dan meningkatkan syariat Islam.
Ia juga harus bersandarkan syarat bahawa kerajaan memerlukan sumber
kewangan untuk pembangunan umum seperti membina jalan raya, membantu
orang miskin atau membina hospital.
Cukai yang dikutip hendaklah juga hanya untuk memenuhi maslahah
dharuriyat dan hajiyat iaitu memenuhi tanggungjawab sosial dan
kepentingan rakyat dan negara, katanya pada sidang media selepas
mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di sini.
“Harus, selagi bebanan cukai dikutip secara adil, cukai dibelanjakan
untuk maslahah ummah bukan untuk maksiat dan agihan cukai hendaklah
bertepatan, adil dan mengikut pandangan ahli ulama atau pakar semasa dan
setempat,” katanya.
Abd Shukor menolak dakwaan bahawa keputusan jawatankuasa itu
berkenaan GST adalah berdasarkan hujah yang longgar dan tidak menepati
hukum syarak kerana bersandarkan kepada maslahah.
Katanya selain mendapat pandangan ulama, keputusan itu dibuat selepas
mengambil kira laporan intensif yang disediakan kumpulan penyelidik
dari kalangan pakar syariah dan ekonomi dari Universiti Teknologi MARA.
Abd Shukor juga berkata jawatankuasa itu turut mengambil maklum
mengenai laporan ketirisan perbelanjaan kerajaan seperti dilaporkan
dalam Laporan Audit Negara.
Namun, katanya, mereka (jawatankuasa itu) hanya bertanggungjawab dalam memberi pandangan mengenai GST.
Ditanya apakah jawatankuasa itu akan mengeluarkan fatwa baharu jika
kerajaan gagal memenuhi syarat yang digariskan, Abd Shukor berkata
kerajaan perlu diberi peluang sehingga setahun (laksana GST) sebelum
penilaian semula dibuat. – BERNAMA