"Jika DAP Dan PKR Berkeras Untuk Berpecah, Kita Tak Ada Pilihan" - PAS

ALOR SETAR - Jika DAP dan PKR bersungguh mahu PAS keluar dari Pakatan Rakyat, PAS menegaskan bahawa pihaknya tiada sebarang masalah untuk keluar dan berjuang sendirian di medan politik negara.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS sememangnya terbukti mampu berjuang bersendirian walaupun disingkirkan daripada gabungan parti pembangkang berdasarkan sejarah partinya.

Mohd Amar yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, partinya pernah melalui kesukaran selepas bertindak keluar daripada Barisan Nasional dahulu, namun mampu bangkit dan menawan Kelantan pada pilihan raya umum ke-8 pada tahun 1990.

"Jadi kalau kawan-kawan kita (DAP dan PKR) berkeras untuk berpecah, maka kita tak ada pilihanlah.

"Kita sudah ada pengalaman berbanding orang lain dan kita pernah menang Kelantan ini bersendirian, kita sudah ada rekod itu, bukan kita nak berbangga," katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kota Darul Naim, semalam.

Mohd Amar dilapor mengulas mengenai krisis Pakatan Rakyat yang kini kian terserlah tidak sepakat ekoran DAP dan PKR yang membantah keras dan menolak secara total rang undang-undang persendirian berkaitan hudud yang diusahakan Kerajaan PAS Negeri Kelantan dengan Kerajaan Pusat yang dikuasai BN.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini mengumumkan keputusan partinya untuk memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menyifatkan Presiden PAS itu sebagai tidak bermaruah dan pengkhianat bersiri.

Hinaan DAP itu pula disusuli tindakan drastik DAP Negeri Sarawak yang mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu minggu lepas atas alasan sama, diikuti oleh PKR dan DAP Sabah turut mengumumkan keputusan sama, kelmarin.

Memetik dari sumber Bernama, Mohd Amar turut menyelar DAP dan menegaskan bahawa pimpinan parti itu perlu tidak wajar menyerang peribadi Abdul Hadi.

"Menyerang Presiden Pas ini sikap tidak bijaksana dalam hubungan, kita tak serang peribadi dan tidak serang pimpinan DAP," katanya. -Kedahnews.com