ALOR SETAR - Belum pun reda kontroversi cium mulut di Anugerah Bintang Popular
Berita Harian (ABPBH) 2014 tempohari, muncul pula khabar angin terbaru yang mendakwa
pelawak terkenal, Johan sering dikongkong dan dikawal ketat oleh
isterinya, Ozlynn Wati.
Kenyataan itu diperkukuhkan lagi selepas ada yang menyatakan kononnya segala tindak-tanduk
dan keputusan yang dibuat pelawak itu perlu disaring terlebih dahulu oleh Ozlynn.
Bagaimanapun, Ozlynn yang juga merupakan seorang pelakon menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Jelas Ozlynn, dia hanya membantu dalam memberi nasihat kepada Johan mengenai perkembangan kerjaya seninya.
“Bagi saya, tidak timbul soal saya mengongkong Johan kerana apa yang
saya buat adalah untuk kebaikan Johan juga. Kebetulan saya terlebih
dahulu menceburi bidang ini berbanding Johan yang kerjaya seninya baru
bermula sekitar 2007.
“Sepanjang tempoh itu juga, dah banyak pengalaman yang saya lalui dan
apa yang saya lalui dulu itulah yang saya jadikan panduan untuk
membantu kerjaya seni Johan pula,” kata Ozlynn dalam satu kenyataannya.
Sementara itu, Ozlynn turut mengaku bahawa dia banyak memastikan Johan berdisiplin mengikuti
jadual kerana suaminya terlalu kerap sibuk dan menasihati pelawak itu mengenai
tawaran pekerjaan yang mendatang. -Kedahnews.com