NEW YORK – Sebuah mahkamah di sini membenarkan seorang jururawat
‘menyampaikan’ dokumen penceraiannya hanya melalui laman sosial
Facebook.
Tindakan itu dibuat oleh hakim Mahkamah Agung Manhattan, Matthew
Cooper selepas jururawat berkenaan, Ellanora Baidoo melalui peguamnya
memberitahu bahawa suaminya sukar ditemui selain tidak mempunyai alamat
tetap.
“Wanita berusia 26 tahun ini diberi kebenaran menyerahkan surat
perceraian kepada defendan, Victor Sena Blood-Dzraku melalui mesej
peribadi di akaun Facebook lelaki berkenaan,” ujar Cooper.
Menurutnya, mesej tersebut akan dihantar oleh peguam plaintif kepada
defendan seminggu sekali bagi tempoh tiga minggu berturut-turut atau
sehingga diakui oleh suaminya itu.
“Saya menganggap perkara ini sebagai satu undang-undang baharu dan
cara ini perlu dipandang serius,” kata peguam Baidoo, Andrew Spinnell.
Pasangan yang berasal dari Ghana ini telah berkahwin pada 2009, namun
hubungan mereka mula retak apabila Blood-Dzraku memungkiri janji untuk
mengadakan upacara perkahwinan secara tradisional mengikut adat mereka. –
Agensi