KUALA LUMPUR – Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP)
adalah memadai buat masa ini kerana ia telah diselaraskan dengan gaji
minimum pekerja.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata langkah
menaikkan caruman akan menjejaskan gaji bersih pekerja yang digunakan
untuk menampung kehidupan harian.
“Peningkatan peratusan kadar caruman bagi syer pekerja dan majikan
sememangnya dapat memberi impak berganda terhadap simpanan persaraan
ahli.
“Bagaimanapun, KWSP juga perlu peka dan mengambil kira faktor-faktor
lain seperti keadaan ekonomi semasa rakyat Malaysia yang terpaksa
mengharungi peningkatan kos sara hidup,” katanya pada sesi soal jawab di
Dewan Negara di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Yoo Wei How mengenai
kesediaan KWSP meningkatkan kadar caruman pekerja dan majikan supaya
dapat menyelesaikan masalah ketidakcukupan jumlah wang caruman untuk
persediaan selepas bersara.
Chua berkata wang simpanan KWSP adalah untuk tujuan persaraan ahli
dan ia bergantung kepada beberapa faktor seperti kadar upah yang
diterima, kadar caruman majikan dan pekerja, pemberian dividen tahunan
serta sebarang pengeluaran yang dibuat sebelum mencapai umur 55 tahun.
Katanya pengeluaran itu termasuk untuk tujuan perumahan, haji,
pendidikan, kesihatan dan hilang upaya serta pengeluaran semasa umur 50
tahun.
Beliau berkata kecukupan simpanan persaraan ahli juga bergantung
kepada kesedaran mereka untuk menabung lebih awal bagi menyelaraskan
simpanan dengan gaya hidup yang diingini selepas bersara.
“Ahli juga perlu mengambil kira keadaan kesihatan mereka semasa
persaraan dengan menyediakan simpanan secukupnya memandangkan kos
kesihatan yang semakin meningkat,” katanya. – BERNAMA