KUALA LUMPUR – Kaji selidik secara dalam talian ‘i-Akaun’ yang
diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mendapatkan
pandangan pencarum berhubung cadangan penyelarasan umur pengeluaran
simpanan ahlinya kepada 60 tahun adalah tidak relevan.
Sebaliknya, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata, pertemuan secara
terbuka antara KWSP dengan pihak berkepentingan seperti pekerja dan
majikan adalah lebih sesuai.
“Hari ini dalam keadaan orang ramai yang tidak bersetuju dengan
cadangan tersebut, KWSP tidak seharusnya memperkenalkan kaedah itu,”
katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
KWSP baru-baru ini meminta ahlinya menimbangkan dua cadangan —
melanjutkan umur pengeluaran penuh daripada 55 kepada 60 tahun secara
berperingkat dalam tempoh 15 tahun, atau mengekalkan umur pengeluaran 55
bagi simpanan sedia ada dan memperkenalkan umur pengeluaran baharu pada
60 tahun bagi caruman mereka yang bekerja selepas usia 55 tahun.
Azih berkata, pihaknya berpendirian tegas bahawa cadangan tersebut
akan menyebabkan bakal pesara lebih tertekan dengan komitmen sedia ada
seperti bayaran perumahan serta perbelanjaan lain. – BERNAMA