LYC Mall Sdn Bhd yang juga pengendali Plaza Low Yat, berjaya mencatat
jualan memberangsangkan RM5 juta menerusi acara dwitahunan Karnival
Jualan Penghabisan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang berakhir
pada 29 Mac lepas.
Menurut Pengurus Besar Hartanah dan Operasinya, Michael Lee, karnival
itu ternyata memberi pulangan lebih tinggi kepada 600 penyewanya
berbanding jualan RM3.5 juta yang diraih pada karnival diadakan November
lepas.
Katanya, walaupun pihaknya menjangkakan hasil jualan lebih rendah
berikutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), penggunaan produk ICT itu
sebaliknya diunjur stabil pasca tiga bulan pelaksanaan cukai berkenaan.
"Jualan produk ICT terbukti tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan
ini hasil hasil kemasukan telefon pintar. Malah, 40 peratus hasil jualan
syarikat kami disumbangkan segmen telefon pintar.
"Orang ramai akan terus mahukan gajet dan teknologi baharu yang membawa kepada peningkatan permintaan produk terkini.
"Pihak kami menjangkakan hasil jualan akan kembali normal selepas tiga bulan (pelaksanaan CBP)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan hadiah utama bersempena penganjuran karnival berkenaan, di sini, Sabtu.
Karnival bertemakan 'Pesta Keriangan' itu menarik sejumlah 28,000 penyertaan berbanding 16,000 orang, tahun lepas. -mStar