Kejam! Dibunuh Kerana Hutang RM2..

BATU PAHAT – Disebabkan wang berjumlah RM2, dua warganegara Nepal dibunuh rakan senegara menggunakan sebilah parang, dalam kejadian di sebuah kilang simen di Jalan Yong Peng-Parit Sulong, semalam.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi yang berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang nyenyak tidur dalam sebuah bilik.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, dipercayai sebelum kejadian, seorang mangsa bertengkar dengan suspek sebelum mereka tidur.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa berhutang dengan suspek sebanyak RM2, dan dikatakan suspek meminta kembali wangnya tetapi mangsa tidak mengendahkannya.

“Malah mangsa turut dikatakan melemparkan kata-kata kesat kepada suspek, membuatkannya sakit hati dan berdendam dengan mangsa yang kemudiannya bertindak membunuh mangsa.

“Seorang rakan mangsa yang turut menyebelahi mangsa ketika pertengkaran berkenaan turut menerima nasib sama, dibunuh ketika tidur,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Din lagi, suspek yang berusia awal 20an itu, bersama enam rakan lain yang menghuni asrama dua bilik itu ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses bedah siasat dan dokumentasi sebaik pihak polis menerima laporan kira-kira jam 8.30 pagi.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan mereka yang mempunyai maklumat boleh tampil membantu siasatan pihak polis,” katanya. – Sinar Harian