SEREMBAN – Pengetua sekolah berperanan memberi kepimpinan, galakan
dan sokongan kepada guru serta murid di samping mewujudkan persekitaran
yang kondusif, sihat serta memberangsangkan proses pengajaran dan
pembelajaran, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada peranan dan kewibawaan pengetuanya.
Dimensi terpenting yang perlu dimainkan pengetua adalah dimensi
kepimpinan pengajaran terutama dalam mencorakkan iklim dan budaya
pengajaran serta pembelajaran (PdP), katanya ketika berucap merasmikan
Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia
ke-54 di sini Isnin.
Bertemakan ‘Kepimpinan Pengetua Memacu Transformasi Pendidikan
Negara’, persidangan tiga hari bermula hari ini menghimpunkan 760
pengetua dari seluruh negara.
Muhyiddin berkata dari segi peribadi, pengetua yang berkesan
kebiasaannya memiliki sifat dedikasi, bertanggungjawab, berkeyakinan
tinggi dan tidak mudah berputus asa.
“Oleh yang demikian, sebagai pemimpin sekolah, pengetua hendaklah
yakin dan bersedia untuk membimbing guru dalam melaksanakan tugas PdP.
Keupayaan menguruskan guru dan pelajar secara berkesan akan dapat
membantu mencapai matlamat sekolah dengan cepat,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata pengetua juga mestilah berupaya untuk memahami,
menghayati dan sentiasa mengamalkan dasar yang telah digubal bagi
mencapai aspirasi negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Keupayaan untuk menterjemahkan dasar kepada tindakan memerlukan kemahiran tertentu yang dimiliki oleh pengetua,” katanya.
Ini, katanya, amat penting dalam memastikan setiap maklumat berkaitan
dengan dasar dan proses perlaksanaannya dapat disampaikan dengan tepat
kepada pelaksana terutama guru-guru di sekolah. – BERNAMA