KUALA LUMPUR – Kempen Penurunan Harga yang bermula pada 2008, tidak
terhad kepada penglibatan pasar raya besar sahaja, sebaliknya semua
peniaga termasuk pengilang digalakkan menyertai kempen itu, persidangan
Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, peniaga yang berhasrat
menyertai kempen itu boleh kemukakan permohonan kepada bahagian
pembangunan perniagaan kementerian.
Tempoh minimum kempen adalah selama 30 hari, katanya menjawab soalan
tambahan Senator Datuk Seri Abd Halim Abd Samad yang ingin tahu sama ada
kerajaan bercadang memperluaskan kempen itu.
Katanya, sebanyak 40 syarikat melibatkan 1,382 cawangan pasar raya di
seluruh negara telah menyertai Kempen Penurunan Harga bermula Mac lepas
melibatkan penawaran diskaun sehingga 70 peratus bagi 488,056 produk.
“Kempen penurunan harga 2015 disertai oleh 16 syarikat peruncitan
tempatan dan asing dengan melibatkan 1,036 cawangan dan penawaran
diskaun sehingga 70 peratus bagi 82,582 produk,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, kementerian dari semasa ke semasa mengadakan
perbincangan dengan pihak peruncit, pengilang dan pengusaha restoran
bagi menggalakkan penyertaan semua pihak dalam kempen itu.
Katanya, kempen itu masih mendapat sambutan rakyat kerana ia bukan
sahaja memberi maklumat tentang premis perniagaan yang menawarkan harga
rendah, tetapi juga dapat membantu meringankan beban perbelanjaan
harian, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Ia juga sebagai langkah membantu mempromosi premis perniagaan yang menawarkan penurunan harga, katanya. – BERNAMA