Kenaikan Gaji Asas Adun Kedah Tidak Setinggi Adun Pulau Pinang Atau Selangor - Mukhriz

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah diumum bakal menerima kenaikkan gaji namun ia tidak akan melibatkan jumlah yang tinggi sebagaimana yang diperoleh Adun di Pulau Pinang dan Selangor.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, meskipun kadar gaji Adun di Kedah bakal dinaikkan, ia tidak akan menyamai kadar gaji asas Adun-Adun di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Ia tidak akan menyamai kadar gaji asas yang dinikmati oleh Adun di negeri-negeri seperti Johor, Selangor dan Pulau Pinang,” kata Menteri Besar itu dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Ujar Mukhriz, kenaikan gaji kesemua Adun di Kedah sudah dibincangkan sebelum ini dalam satu mesyuarat EXCO dan perkara tersebut akan dibawa ke dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibahaskan dalam masa terdekat.

Menteri Besar yang kini menjadi ikon negeri Jelapang Padi itu juga menjelaskan bahawa kadar gaji Adun-Adun di negeri itu juga adalah antara yang terendah berbanding di negeri-negeri lain di negara ini.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk disemak semula (kadar gaji asas) anggota dewan di Kedah. Kita akui bahawa kadar gaji asas Adun Kedah adalah antara terendah.

Beliau turut menyatakan bahawa sekiranya cadangan tersebut diluluskan,  kesemua Adun akan menerima kenaikkan gaji mengikut kemampuan Kerajaan Negeri sepertimana diputuskan nanti.

Kenyataan tersebut diumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ketika mengulas cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Bekas Wakil Rakyat Kedah (MUBARAK) semalam. -Kedahnews.com