Kerajaan Kaji Peraturan Baru Pembedahan Plastik

PUTRAJAYA - Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan peraturan baharu bagi membendung kegiatan pembedahan plastik secara haram oleh pusat perubatan yang tidak bertauliah, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.
  
Beliau berkata, Akta Kosmetik diperlukan bagi mengawal semua kegiatan termasuk penggunaan alat perubatan secara haram daripada terus berleluasa dan memberi kesan tidak baik kepada semua pihak.
  
Katanya, peraturan itu masih dikaji di peringkat awal bagi memastikan segala perkara melibatkan alat perubatan dimasukkan agar tindakan atau penalti boleh diambil terhadap pihak berkaitan.
  
"Buat masa ini, semua alat perubatan yang digunakan untuk memberi rawatan kepada pesakit perlu didaftar di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) tetapi lampu laser yang digunakan oleh pusat kecantikan tidak perlu berdaftar.
  
"Namun, ada juga pusat kecantikan menggunakan alat perubatan yang tidak dibenarkan serta tidak berdaftar di bawah Akta Peranti. Kerana itu, kita perlukan peraturan baharu ini untuk kawal perkara ini," katanya selepas lawatan kerja di Institut Kanser Negara di sini.
  
Dr Subramaniam berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai permintaan Persatuan Perubatan Malaysia yang mahu Akta 737 dikuatkuasakan bagi membanteras penggunaan alat perubatan seperti jarum suntikan dan mesin rawatan laser secara meluas di pusat kecantikan yang tidak bertauliah.
  
Menurutnya, Akta Peranti Perubatan 2012 diwartakan pada 9 Februari 2012 dan dikuatkuasakan pada 30 Jun 2013, yang mana semua pengeluar peranti perubatan diwajibkan mendaftar produk-produk mereka bagi menjaga kualiti produk dalam negara. - Bernama