KOTA BAHARU – Kerajaan Kelantan tidak mewartakan kadar premium hasil
aktiviti pembalakan yang diusahakan di negeri itu, menurut Laporan Ketua
Audit Negara 2014 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin.
Laporan itu menyebut, pengauditan yang dijalankan antara Julai hingga
Oktober 2014 mendapati dari segi kutipan hasil keseluruhan Jabatan
Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) adalah memuaskan dengan peningkatan
hasil daripada RM50.91 juta pada 2012, RM59.03 juta (2013) dan RM64.94
juta pada 2014.
“Bagaimanapun terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan hasil
daripada aktiviti pembalakan seperti kadar premium dikenakan tidak
diwarta, bayaran pampasan kayu balak dan denda lewat bayar tidak
dikenakan manakala deposit ladang hutan dikenakan tidak mengikut kadar
yang diwartakan.
“(Selain itu), terdapat tunggakan hasil ‘tribute’ konsesi hutan dan
tunggakan hasil denda kesalahan hutan, (dan) kerugian hasil akibat
kecurian balak,” menurut laporan itu.
Laporan itu menyebut, bagi menambah baik pengurusan hasil pembalakan,
jabatan itu disyorkan mengambil tindakan seperti Jawatankuasa Kecil
Perhutanan dan JPNK perlu memastikan semua bayaran pengusahasilan
dikenakan mengikut kadar yang diwartakan dan denda dikenakan sekiranya
lewat membuat bayaran; perlu memastikan ‘tribute’ konsesi hutan dan
denda kesalahan hutan dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan dan
meningkatkan pemantauan terhadap kes kecurian balak.
Selain itu, laporan itu turut menyebut pengauditan yang dijalankan
pada Ogos hingga Oktober 2014 ke atas Majlis Daerah Gua Musang (MDGM)
dan Majlis Daerah Ketereh (MDK) mendapati perolehan tidak mematuhi
sepenuhnya peraturan kewangan yang berkuatkuasa.
“Sebanyak enam perolehan bekalan bernilai RM374,807; empat perolehan
perkhidmatan bernilai RM601,020 dan enam perolehan kerja bernilai
RM300,485 tidak dipelawa secara sebut harga.
“Kelemahan perancangan menyebabkan projek Rehat dan Rawat (R&R)
di Pos Brooke, Lojing, Gua Musang lewat disiapkan, enam unit kios mesin
teler automatik (ATM) di Ketereh yang siap belum disewakan dan 14 unit
kedai di Dataran Usahawan Kok Lanas tidak disewa selama lapan tahun
dengan anggaran kehilangan hasil berjumlah RM65,800,” menurut laporan
itu.
Kedua-dua majlis daerah itu disyorkan merancang dengan teliti sebelum
membuat perolehan dan perlu mematuhi segala peraturan semasa membuat
perolehan, serta menetapkan rancangan masa depan bagi projek-projek yang
telah siap dibina supaya tidak terus membazir.
Sementara itu, audit yang dijalankan ke atas anak syarikat Yayasan
Kelantan Darulnaim milik kerajaan negeri iaitu KIAS Darulnaim Sdn Bhd
(KDSB) yang menguruskan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra
(KIAS) mendapati terdapat kelemahan dalam pengurusan aktiviti seperti
sasaran pengambilan pelajar tidak mengikut kapasiti tempat yang
disediakan, peningkatan tunggakan yuran pelajar, Corporate Integrity
Pact/Integrity Pledge belum dilaksanakan, pembayaran bonus tanpa
kelulusan pihak berkuasa kerajaan negeri serta pengurusan kewangan dan
pengurusan aset kurang memuaskan.
Laporan itu mengesyorkan supaya KDSB mewujudkan kaedah berkesan untuk
mengutip yuran tertunggak supaya jumlah tunggakan dapat dikurangkan,
mempergiat promosi memperkenalkan KIAS dan meningkatkan amalan tadbir
urus korporat dengan mematuhi amalan terbaik Kod Tadbir urus Korporat
Malaysia serta memastikan kawalan dalaman yang berkesan bagi pengurusan
kewangan syarikat agar selaras dengan peraturan kewangan yang
ditetapkan. – BERNAMA