ALOR SETAR - Naib Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Al-Mashri merayu kepada Menteri Besar Kedah, supaya menangguhkan kenaikan gaji dan elaun anggota Dewan Undangan Negeri Kedah yang diluluskan baru-baru ini.
Kata Syed Mohd Johan Rizal, Kerajaan Negeri perlu sensitif dengan keadaan rakyat di negeri itu yang sedang bergelut dengan tekanan kenaikan kos sara hidup dan kekeliruan mengenai perlaksanaan GST, di samping tiada kenaikan gaji di kalangan penjawat awam di Kedah.
"Cuma, dengan rendah diri saya memohon jasa baik dan pertimbangan dari Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang saya hormati, agar menangguhkan kenaikan gaji dan elaun tersebut buat sementara waktu.
"Menyelami jiwa dan perasaan 'mendahulukan rakyat Kedah', saya memohon supaya ia hanya dilaksanakan selepas Pilihanraya Umum Ke-14 nanti," katanya yang dipetik menerusi blognya, di http://bilashahabudinberbicara.blogspot.com.
Beliau turut memohon supaya Kerajaan Negeri Kedah membuktikan terlebih dahulu kemampuan membangunkan negeri tersebut untuk sepenggal pentadbiran sebelum bercakap soal kenaikan gaji dan elaun anggota DUN.
"Kita selaku berada di kem Barisan Nasional secara tradisinya memang terkenal dengan agenda 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.
"Justeru itu, saya yakin sekiranya Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Mukhriz berjaya membuktikan kejayaan membangunkan negeri Jelapang Padi dan memakmurkan seluruh anak-anak Kedah untuk sepenggal ini, saya yakin rakyat Kedah sendiri akan menggesa supaya gaji Menteri Besar, barisan Exco, Speaker Dewan, Timbalannya dan Adun-Adun dinaikkan.
"Malah mungkin ketika itu kadarnya kenaikannya boleh diganda dari 25% kepada 50% untuk Menteri Besar dan kenaikan 100% pada semua Adun sebagaimana yang dimahukan Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin," katanya lagi.
Kata AJK Pemuda UMNO Negeri Kedah itu lagi, meskipun kenaikan gaji dan elaun itu dikatakan adalah untuk membantu rakyat Kedah, beliau menegaskan bahawa anggota dewan itu bukanlah dari golongan bernasib baik serta tidak berkemampuan dari sudut kewangan.
"Dalam pengamatan saya, barisan Adun, Exco dan Menteri Besar sendiri mempunyai sumber-sumber lain yang membantu pendapatan bulanan mereka.
"Saya percaya, elaun-elaun yang diterima mereka tidaklah sedikit seperti yang diterima kerani di jabatan-jabatan kerajaan negeri.
"Saya juga percaya jawatan-jawatan lain seperti "Board of Director" di beberapa GLC di negeri Kedah juga turut membantu sumber kewangan para pemimpin Kerajaan Negeri Kedah.
"Lagipun, secara peribadi saya melihat Adun-Adun, Exco-Exco dan Menteri Besar sendiri bukannya sembarangan dan mereka terdiri dari golongan berada serta berkedudukan.
"Semuanya cukup makan, memiliki kediaman yang selesa, mempunyai kenderaan yang tidak kurang hebatnya dan saya belum lagi mendengar ada keluarga mereka yang terpaksa berlapar, bukan?," tulisnya di blog berkenaan.
Klik di sini untuk membaca tulisan di blog tersebut.
Sidang DUN Negeri Kedah baru-baru ini, termasuk pihak pembangkang bersetuju untuk menaikkan gaji dan elaun anggota DUN Kedah yang menyaksikan kenaikan 25 peratus untuk Menteri Besar dan 50% untuk anggota dewan yang lain.
Gaji Adun Kedah dinaikkan dari RM4,112.79 kepada RM6,169.20, Timbalan Speaker Dewan, gajinya dinaikkan dari RM3,993 kepada RM5,989, manakala gaji barisan Exco Kerajaan Negeri dan Speaker Dewan pula dinaikkan dari RM6,109.29 kepada RM9,163.95.
Sementara gaji Menteri Besar pula dinaikkan dari RM14,175.15 kepada RM17,718.95.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini menjelaskan bahawa kenaikan gaji dan elaun anggota DUN Kedah bakal dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan. -Kedahnews.com