Mohd Firdaus Mohd Faridul, 20, dikawal oleh anggota Polis ketika hadir bagi mendengar keputusan hukuman di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini. - Foto BERNAMA |
Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choo Ka Sing menjatuhi hukuman itu terhadap
Mohd Firdaus Mohd Faridul, 20, setelah dia mengaku bersalah (pada 26 Mac
2015) atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian mengikut seksyen 304
(a) yang membawa hukuman penjara 30 tahun dan denda.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap, iaitu 15 Jan 2014.
Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mohd Firdaus, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Noor Syafikah
Nadia Abdullah, 14, di kawasan bendang terbiar di Kampung Alor Senibong,
Mukim Tajar, Alor Setar antara 9.30 malam dan 11.30 malam, 29 Nov 2013.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian.
Dalam penghakimannya, Choo berkata, mangsa mati dalam keadaan terseksa, apabila kepalanya direndam di dalam air berlumpur.
Terdapat kecenderungan keganasan dalam perlakuan tertuduh, katanya.
“Mangsa tidak mati secara segera, mangsa berusaha mencari kekuatan untuk bernafas di dalam air yang berlumpur,” katanya.
Choo turut menasihatkan tertuduh agar bertaubat dan tidak melakukan
kesalahan itu selain memulakan kehidupan baharu setelah selesai
menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib manakala tertuduh diwakili Burhanudeen Abd Wahid.
Pada 30 Nov 2013, mayat Noor Syafikah Nadia ditemui di kawasan
bendang terbiar dalam keadaan tertiarap manakala mayat dua adiknya iaitu
Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemui dalam terusan
MADA di Kampung Padang Tani, dekat Alor Semela pada 1 Dis 2013.
Sebelum itu mereka dikatakan keluar rumah pada 29 Nov dengan menunggang motosikal kira-kira 7.30 malam. – BERNAMA