PUTRAJAYA – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah berhubung dengan
pihak Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk mendapatkan keputusan kes
doping Datuk Lee Chong Wei sebelum tempoh tiga minggu seperti yang
ditetapkan.
Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata sekira
dibenarkan, pihaknya mahu Chong Wei beraksi dalam dua acara sukan utama
iaitu kejohanan Piala Sudirman dan Sukan SEA.
“Kita akan ambil inisiatif agar kita tidak perlu tunggu sehingga tiga
minggu. Kita semua sudah jalankan tanggungjawab sediakan pembelaan
terbaik untuk Chong Wei…lepas itu hanya harap segala pembentangan dan
hujah yang dinyatakan beri kesan positif,” katanya kepada pemberita
selepas menghadiri perasmian Persidangan Antarabangsa Perubatan Sukan
dan Sains di sini malam tadi.
Persidangan bermula Isnin hingga Khamis itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Pada 11 April, jaguh perseorangan negara itu menghadiri prosiding kes
dopingnya yang didengar tiga anggota panel BWF di Amsterdam dan
keputusan bakal diketahui dalam tempoh tiga minggu.
Chong Wei, 33, digantung sementara oleh BWF sejak 11 Nov 2014 selepas
didapati menggunakan bahan terlarang jenis dexamethasone ketika beraksi
pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, pada Ogos tahun lalu. –
BERNAMA