BENAR sekali hati adalah pusat pentadbiran manusia, rosak hati rosaklah manusia dan musnahlah peluangnya mencapai reda dan syurga Allah. Suci dan putih hati pula membawa kepada cerahnya peluang manusia ke syurga Allah SWT. Walau tampak seakan mustahil memiliki hati suci seputih salju, namun ia tidak mustahil kerana ia mampu “disental” dengan ilmu, iman dan ibadat.
Petang ini hati saya dihentam keras oleh ayat Allah SWT yang memuji orang Ansar. Patutlah nama orang Ansar dirakam mewangi dalam al-Quran sehingga kiamat, rupanya mereka memang layak menerima penghormatan itu kerana tiada hasad kepada orang lain.
Allah berfirman yang bermaksud:
Petang ini hati saya dihentam keras oleh ayat Allah SWT yang memuji orang Ansar. Patutlah nama orang Ansar dirakam mewangi dalam al-Quran sehingga kiamat, rupanya mereka memang layak menerima penghormatan itu kerana tiada hasad kepada orang lain.
Allah berfirman yang bermaksud:
Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan (hasad) berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (al-Hasyr: 9)Ketika mengulas ayat ini, Imam Ibnu Kathir membawa sebuah kisah menyentuh jiwa tentang cubaan Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As yang cuba menyiasat aktiviti harian seorang lelaki Ansar yang disebut Rasulullah SAW sebagai ahli syurga. Kisahnya selama tiga hari berturut Rasulullah SAW memberitahu:
“Akan muncul sekarang kepada kamu semua, seorang penghuni syurga.” Selepas itu, muncul seorang lelaki Ansar menyapu janggutnya sejurus mengambil wuduk sedang seliparnya bergantung di tangan kiri.Peristiwa dan kata-kata Rasulullah SAW itu berulang selama tiga hari dan lelaki yang sama juga muncul. Terdorong dengan rasa ingin tahu rahsia amalan lelaki tersebut, Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As memikirkan cara untuk tinggal di rumah lelaki tersebut. Beliau mendakwa berselisih faham dengan ayahnya dan perlu menumpang rumah lelaki tersebut selama tiga hari.
Sepanjang beliau bersama lelaki Ansar itu, tidaklah pula si lelaki bangun solat sepanjang malam. Apa yang diperhatikannya, lelaki itu sering berbolak-balik pada waktu malam dan setiap kali berbolak-balik di tempat tidurnya dan beliau akan bertakbir kepada Allah. Sepanjang tempoh tiga hari itu juga Abdullah tidak mendengar kata yang buruk keluar daripada mulut lelaki itu.
Selepas tiga hari, Abdullah sudah tidak dapat menahan diri ingin mengetahui “rahsia kunci syurga lelaki” tersebut. Beliau akhirnya menceritakan apa yang disebut oleh Rasulullah SAW dan terus bertanya tanpa selindung apa rahsianya.
Tiada hasad
Lelaki itu berkata: “Aku tidak memiliki apa amalan yang istimewa melainkan apa yang kamu saksikan dalam tempoh tiga hari ini. Melainkan satu tabiatku adalah, Aku tidak berdusta kepada sesiapa pun. Aku juga tidak hasad terhadap kelebihan yang Allah berikan kepada orang lain.” Setelah itu, Abdullah berkata: “Inilah sifat yang menjadi sebab keistimewaanmu. Sifat ini tidak mampu kami lakukan.” (Musnad Ahmad)
Subhanallah! Nampak mudah sahaja “hati yang tiada hasad”, namun ia seumpama memecahkan gunung yang kukuh berdiri. Banyak mujahadah atau perang jiwa dan iman perlu dilakukan untuk meletupkan gunung hasad dalam hati.
Mengapa saya sifatkannya sebagai gunung? Kerana gunung sukar dihancur dan sukar didaki, namun setelah diamati pandangan dari atasnya sungguh jelas sehingga hampir semua ufuk dapat dilihat.
Sifat hasad adalah kuman bahaya dalam hati:
Janganlah sekali-kali kamu berhasad dengki kerana ia memakan amal kebaikan sebagaimana api memamah kayu api. (Sunan Abu Dawud)Perlu disemat ke dalam hati, hasad adalah dosa pertama di langit (keengganan Iblis tunduk kepada Adam as) dan dosa pertama di bumi (pembunuhan Habil). Marilah kita berusaha membuang hasad daripada seluruh kawasan hati kita agar kita bertemu Allah SWT dengan hati yang suci dan lulus syarat kemasukan ke syurga. -Utusan