Kisah Menarik Tentang "Jurujual Terbaik Malaysia" Di Amerika Syarikat


KUALA LUMPUR — Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) meningkat ke tahap lebih tinggi pada tahun-tahun kebelakangan ini, dan perkembangan positif ini boleh dikaitkan dengan usaha yang dilakukan Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Siapa yang boleh lupakan ketika Allahyarham secara rasmi memperkenalkan dirinya kepada Presiden Barack Obama apabila dengan bangganya memakai sepasang baju Melayu yang lengkap pada majlis penyerahan watikah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat pada 4 Nov 2009 di Oval Office, pada permulaan penggal perkhidmatan beliau sebagai duta Malaysia.

Sejak itu, Jamaluddin bekerja tanpa mengenal erti penat dalam usaha mempromosikan kepentingan Malaysia dalam koridor kuasa di Washington DC dan melewati sempadannya.


Sebaik tersebarnya berita Allahyarham Jamaluddin terbabit dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penghormatan kepada kenalan lama beliau, dan berkata Allahyarham Jamaluddin individu yang berkebolehan tinggi, banyak berjasa untuk kerajaan, parti dan negara.

Selepas meninjau tapak nahas, Najib, yang dilihat cuba menahan sebak pada sidang media itu, berkata: “Tan Sri Jamaluddin memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan Malaysia dan AS”.

Sesiapa yang pernah bertemu Jamaluddin — atau lebih dikenali sebagai JJ - pasti tahu apa yang beliau boleh lakukan di belakang tabir.

Seorang koresponden Bernama mengimbas kembali bagaimana beliau pernah menyatakan secara bersahaja kepada Allahyarham tentang kemungkinan Najib bergambar bersama-sama Presiden Amerika yang dirakamkan di luar persidangan serantau.

“Yang mengejutkan saya, beliau mampu melakukannya – bukan mudah untuk melaksanakannya dalam keadaan biasa – beberapa hari kemudian, gambar perdana menteri kita bersama-sama presiden AS terpampang dalam kebanyakan akhbar utama,” katanya.

Menurut beliau, Najib sendiri sama sekali tidak menyangka namun gembira, apabila Obama menjemput beliau untuk sesi foto berdua itu, semasa mesyuarat berhenti rehat.

Bagi pemerhati, sesi foto itu penting memandangkan Najib satu-satunya pemimpin pada mesyuarat berkenaan yang mendapat keistimewaan itu.

Ini, kata wartawan itu, adalah bukti pengaruh dan kesungguhan Allahyarham untuk merealisasikan agenda hubungan Kuala Lumpur-Washington.

Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Joseph Y. Yun berkata Jamaluddin, 63, memberi sepenuh komitmen dan dedikasi dalam kerjasama kedua-dua negara.

“Hubungan dua hala yang begitu kukuh antara kita, sebahagian besarnya hasil daripada kreativiti, kegigihan dan wawasan beliau,” katanya.

‘Jurujual Terbaik Malaysia’
Atas usahanya yang tidak pernah luntur untuk menonjolkan kepentingan Malaysia, Jamaluddin pernah digelar ‘Jurujual Terbaik Malaysia’ oleh kumpulan ahli perniagaan terkemuka di Washington.

Seorang tokoh yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang perniagaan, Allahyarham memanfaatkan pengalamannya dalam dunia korporat untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan AS ke tahap lebih tinggi. - BERNAMA