"Kita Menyokong Mukhriz Selagi Beliau Sokong Perdana Menteri" - Pemimpin Akar Umbi Kedah

ALOR SETAR - Sekumpulan pemimpin akar umbi dari UMNO Bahagian Pokok Sena hari ini menegaskan bahawa mereka akan terus menyokong kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, selagi beliau menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Musa Ahmad yang mewakili kira-kira lebih dari 40 Cawangan UMNO di bahagian berkenaan menegaskan bahawa kenyataan sokongan Mukhriz terhadap kepimpinan Najib adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan persoalan yang dilontar terhadap UMNO Negeri Kedah.

"Kita tetap pendirian, kita menyokong MB selagi MB menyokong Perdana Menteri,

"Kita belum dengar lagi kenyataan Mukhriz mengenai perkara ini, jalan terbaik kita minta Datuk Mukhriz nyatakan sokonganlah kepada Perdana Menteri dalam sebarang tindakan," tegasnya kepada Kedahnews.com di sidang media yang diadakan sebentar tadi.


Sekumpulan pemimpin akar umbi dari UMNO Bahagian Pokok Sena hari ini menegaskan bahawa mereka akan terus menyokong kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, selagi beliau menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.Youtube : https://www.youtube.com/watch?v=VazwjvMv_HsLagi info menarik di : http://www.kedahnews.com
Posted by Kedahnews.com on Monday, April 13, 2015

Musa mengulas mengenai isu pendirian Mukhriz terhadap Najib yang masih menjadi teka-teki sehingga menyebabkan sebilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional dan pemimpin UMNO Bahagian yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadapnya.

Mukhriz telah mengadakan satu perjumpaan dengan para pemimpin UMNO semalam di kediaman Menteri Besar, Sri Mentaloon, dan difahamkan wujud perbincangan mengenai pendirian UMNO Negeri Kedah terhadap kepimpinan Presiden UMNO.


Bagaimanapun, Kedahnews.com difahamkan menerusi sumber dalaman bahawa Mukhriz memilih tarikh 24 April ini untuk menyatakan pendirian UMNO Negeri Kedah terhadap kepimpinan Najib.

Sejurus selepas perjumpaan itu, Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin mendedahkan senario yang berlaku mengenai perjumpaan itu dan mendakwa Mukhriz seolah berdolak-dalik dalam hal menyatakan sokongan berkenaan.

Beliau turut menggesa Mukhriz supaya meletak jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar sekiranya beliau enggan menyokong kepimpinan Perdana Menteri yang melantik beliau berjawatan nombor satu UMNO di Kedah.  -Kedahnews.com