BUKIT MERTAJAM – Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menafikan wujud
gerakan dalam pergerakan itu yang mahu menjatuhkan presiden parti Datuk
Seri Najib Tun Razak, dan menegaskan dakwaan itu bertujuan untuk
melaga-lagakan pemimpin UMNO.
Beliau berkata dakwaan itu adalah rekaan pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengadu domba terhadap pemimpin UMNO.
“Ada usaha pecahkan perpaduan antara pemimpin UMNO terutama antara
saya dan presiden UMNO. Saya lihat ini usaha lagakan presiden parti dan
Pemuda UMNO terutama saya sebagai ketua.
“Gerakan ini tidak wujud. Ia telah disahkan oleh Setiausaha Agung
UMNO Datuk Seri Tengku Adnan (Tengku) Mansor,” katanya kepada pemberita
ketika ditemui sewaktu proses penamaan calon pilihan raya kecil (PRK)
Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara di sini hari
ini.
Baru-baru ini sebuah portal berita menyiarkan laporan yang mendakwa
lima pemimpin Pemuda UMNO pusat mengadakan mesyuarat dengan Pemuda UMNO
Johor di Rompin, Pahang untuk menjatuhkan Najib.
Khairy menegaskan beliau tidak bersikap “baling batu sembunyi tangan”
dengan mengarahkan orang di bawahnya untuk membuat gerakan seperti itu.
“Saya takkan ‘baling batu sembunyi tangan’ dengan minta macai-macai
saya buat gerakan dan sebagainya. Kalau tak setuju saya cakap, tak
sokong saya cakap, tetapi saya sokong presiden.
“Kalau nak buat sesuatu saya tak mintak orang saya, naib saya, exco buat kerja macam tu. Saya akan buat sendiri,” katanya.
Katanya adalah sesuatu perkara yang biasa untuk pergerakan itu
membincangkan isu nasional secara tertutup tetapi itu tidak bermakna
mereka tidak menyokong presiden.
“Apa salahnya bincang (isu nasional). Yang jadi masalah ada yang cuba
berikan tafsiran berbeza dengan apa yang berlaku dalam mesyuarat. Saya
dah check (semak) benda tu tak berlaku (gerakan berkenaan),” katanya.
Ditanya sama ada beliau dan Pemuda UMNO akan mengambil tindakan
terhadap portal berita itu, Khairy berkata tindakan melayan
laporan-laporan di portal berita seperti itu hanya membuang masa.
“Yang penting penjelasan telah diberi.
Presiden difahamkan dah terima penjelasan Pemuda. Saya beri sokongan
kepada presiden, presiden beri kepercayaan pada saya,” katanya. –
BERNAMA