KJ Tegas Pendirian Pemuda Berdiri Teguh Menyokong Najib Tanpa Ragu

Bagi menghadapi cabaran yang melanda parti kini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menyarankan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempercepatkan proses mengaudit syarikat milik kerajaan iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Pemuda UMNO mengharapkan Presiden selaku Perdana Menteri dapat memastikan supaya proses pengauditan terhadap syarikat 1MDB dipercepatkan.

“Jika berlaku apa-apa penyelewengan atau pecah amanah, mereka yang bertanggungjawab perlu terus dibawa ke muka pengadilan,” kata Ketuanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada pemberita selepas pertemuan Najib bersama wakil Pergerakan Pemuda UMNO,

Saranan tersebut menurut mereka kemudiannya telah mendapat persetujuan sendiri oleh Perdana Menteri dan beliau dikatakan bakal mengambil tindakan segera.

“Perdana Menteri telah bersetuju dan menyatakan kesungguhan beliau untuk memastikan bahawa proses pengauditan itu dapat dijalankan dengan rapi, mendalam dan cepat.

“Sekiranya ada bukti penyelewengan, pecah amanah dan sebagainya mereka yang terlibat akan diambil tindakan tegas dan cepat,” kata Khairy lagi.

Pergerakan Pemuda UMNO telah mengadakan satu pertemuan dengan Perdana Menteri  di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Najib membuat penerangan mengenai beberapa isu berbangkit, antaranya situasi yang melanda 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ekonomi semasa negara.

“Kita terus komited dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada presiden dan kepimpinan parti dalam usaha kepimpinan memperkuatkan semua lapisan dalam parti secepat mungkin.
 
“Kita akan terus berdiri teguh di belakang pimpinan UMNO,” kata Khairy berpuas hati dengan pertemuan itu sekaligus menegaskan pendirian sayap parti itu terhadap kepimpinan Najib tanpa ragu.

Bercakap kepada pemberita selepas selesai pertemuan tersebut, Khairy berkata, sebahagian isu yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut merupakan isu yang dibangkitkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Banyak isu yang diperjelaskan Presiden, antaranya 1MDB, isu Altantuya, pembelian jet kerajaan, jambatan bengkok, kedudukan politik dan ekonomi semasa dan GST,”jelasnya lagi kepada pemberita, semalam.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan situasi tegang yang sedang melanda kerajaan kini, namun, optimis ia mampu diselesaikan.

“Kita tidak boleh berada dalam sindrom penafian (denial syndrome). Kita harus akui bahawa cabaran yang dihadapi parti hari ini sangat besar.

“Tetapi, penjelasan daripada Presiden amat penting bagi memberikan keyakinan kepada Pemuda UMNO supaya kita terus berjuang dan terus memberikan sokongan padu,” kata Khairy.

Antara lain, cabang yang diketuai beliau berharap agar presiden terus mendekati rakyat dan membuat penjelasan terhadap isu-isu berbangkit dari semasa ke semasa.