KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun berkata tahap
keberhasilan yang dibawa oleh wakil rakyat pembangkang di kawasan
Parlimen Permatang Pauh susulan beberapa pilihan raya kecil (PRK) lepas,
boleh dipersoalkan.
Beliau berkata berdasarkan hakikat itu, pengundi di kawasan berkenaan
seharusnya memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas
kerusi Permatang Pauh dalam PRK yang dijadualkan 7 Mei ini.
“Kita harap pengundi di Permatang Pauh akan melihat kepada soal masa
depan mereka berdasarkan keberhasilan (yang tidak seberapa) itu dan
melihat BN sebagai alternatif kepada mereka,” katanya dalam temu ramah
bersama media di sini Rabu.
Najib, yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO, menjangka PRK
Permatang Pauh akan lebih sengit berbanding PRK Parlimen Rompin di
Pahang.
Namun, katanya, BN akan mencuba sedaya upaya untuk memenangi kerusi Parlimen di Pulau Pinang itu.
PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga
Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja bagi anggota Parlimen
kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipohon melalui anggota
keluarganya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK
Permatang Pauh 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal 3
Mei.
Menyentuh PRK Rompin yang ditetapkan pada 5 Mei, Najib berkata BN tidak akan memandang mudah cabaran pihak lawan.
Perdana Menteri bagaimanapun yakin BN boleh menunjukkan prestasi
menggalakkan pada PRK Rompin dan seterusnya mengekalkan kerusi Parlimen
itu berdasarkan kerja keras semua pihak dalam parti.
“BN telah membuat persiapan yang rapi, jentera pilihan raya kita di
kedua-dua kawasan, kesiapsiagaan mereka baik dan semangat mereka tinggi,
malah kerja-kerja awalan telah mereka lakukan.
“Soalnya sama ada kita boleh tambah majoriti di Rompin …(kita) jangan anggap mudah,” kata Najib.
PRK Parlimen Rompin diadakan selepas penyandangnya Tan Sri Dr
Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih,
Selangor, pada 4 April lalu.
Ia menyaksikan pertandingan satu lawan satu iaitu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad. – BERNAMA