Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar |
KUALA LUMPUR – Culik orang kenamaan, serang lokasi strategik dan
seterusnya tubuhkan rejim IS di Malaysia – itu antara percaturan dibuat
oleh kumpulan 17 disyaki pengganas yang dikaitkan dengan IS, sebelum
ditahan polis Ahad lepas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sasaran serangan
ialah di lokasi-lokasi strategik di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Katanya, 17 suspek itu ditahan dalam operasi Bahagian Counter
Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Kuala
Lumpur dan Kedah ketika mereka sedang melakukan pertemuan sulit bagi
merancang untuk melancarkan serangan di sekitar Lembah Klang.
“Mereka yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 49 tahun, antaranya
merupakan bekas anggota kanan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang
pernah ditangkap, guru agama, pengawal keselamatan dan anggota tentera,”
katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.
Khalid berkata anggota kanan kumpulan pengganas itu yang berusia 49
tahun merupakan bekas anggota KMM dan pernah ditangkap pada Jun 2001 di
bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. – BERNAMA