KUALA LUMPUR - Usaha 'menyelamatkan' Malaysian Airlines System Bhd
(MAS) wajib dimulakan dengan mengurangkan jumlah kakitangannya kepada
satu saiz yang lebih berdaya maju, menurut seorang penganalisis.
Malah, langkah MAS untuk mengurangkan sebanyak 6,000 daripada
keseluruhan 20,000 tenaga kerjanya adalah 'paling penting' demi
'survival' atau kelangsungan syarikat penerbangan nasional itu, tegas
Penganalisis penerbangan Maybank Investment Bank, Mohshin Aziz.
Dalam pelan pemulihannya, langkah-langkah seperti penamatan laluan
penerbangan serta perkhidmatan yang merugikan itu telah atau sedang
dilaksanakan yang menyebabkan pemberhentian kakitangan tidak lagi
diperlukan, sememangnya tidak dapat dielakkan.
Isu paling kritikal sekarang, kata Mohshin, adalah kelangsungan MAS itu
sendiri dan inilah masanya untuk meneruskan apa juga langkah yang sudah
sekian lama tertangguh.
"Jadi saya rasa (langkah) yang lebih penting itu perlu kita lakukannya
sekarang juga. Ia tidak boleh ditangguhkan lagi. Jika kita tangguh, maka
syarikat penerbangan itu tidak akan pulih dan mungkin juga menjadi
lebih teruk lagi," katanya kepada Bernama.
Mohshin berkata berbanding syarikat-syarikat penerbangan yang lain, MAS
juga terlalu banyak dibebankan dengan masalah berkaitan
kesatuan-kesatuan sekerjanya yang disifatkan menjejaskan prestasi
komersialnya.
"Kalau terlalu memikirkan tentang isu kesatuan-kesatuan sekerja,
bagaimanakah MAS dapat bersaing dengan syarikat-syarikat di serata dunia
yang tidak mempunyai masalah kesatuan sekerja?" katanya.
Atas dasar itu, tegas Mohshin, pengorbanan perlu dilakukan berdasarkan
pertimbangan komersial semata-mata walaupun ianya merupakan perkara yang
pahit atau 'tidak popular.'
"Banyak syarikat lain yang telah melalui proses perberhentian pekerja.
Institusi perbankan seperti CIMB, bank-bank lain, syarikat minyak dan
gas seperti Petronas serta anak-anak syarikat sistem vendor juga sedang
melalui proses sama.
"Begitu juga syarikat telekomunikasi seperti Maxis, DiGi, Celcom juga
sudah beberapa kali melaluinya. Oleh itu, ia perkara biasa dalam
syarikat komersial dan Malaysia Airlines itu sendiri adalah sebuah
syarikat komersial."
Ditanya mengenai tawaran syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia
untuk mengambil sebahagian kakitangan MAS yang akan diberhentikan itu,
Mohshin berkata di awal permulaan AirAsia sekitar 2002, 2003, 2004,
hampir 90 peratus pekerjanya adalah bekas kakitangan MAS.
"Malah syarikat penerbangan baru Malindo juga melalui fenomena yang
sama dan ramai pekerjanya sebelum ini pernah berkhidmat dengan MAS dan
AirAsia," katanya.
Menurut Mohshin, jika seseorang pekerja mempunyai kemahiran yang boleh
atau bersesuaian dengan pasaran, maka dia sememangnya boleh 'melompat'
untuk berkhidmat dari satu syarikat ke syarikat yang lain tanpa banyak
masalah.
Beliau turut menjelaskan, dalam merasionalisasikan laluan-laluan
perkhidmatannya, banyak laluan yang akan dimansuhkan seperti ke Eropah
dan juga Asia Barat manakala perkhidmatan di serantau Asia juga mungkin
tidak terkecuali apabila kekerapannya dikurangkan.
"Perkhidmatan yang berkurangan menyebabkan jumlah pesawat juga perlu
dikurangkan. Apabila ini berlaku maka jumlah pekerja yang diperlukan pun
akan berkurangan.
"Langkah ini adalah sebahagian daripada sistem dan atas alasan itulah
amat penting bagi tenaga kerjanya dikurangkan. Jika tidak, pekerja ini
mungkin tiada kerja kerana dalam satu-satu jenis penerbangan hanya boleh
membawa 10 atau 12 pekerja sahaja. Oleh itu, kalau ada 20 atau 30
pekerja, ia terbukti melebihi keperluan.
"Bagi MAS, ini merupakan soal hidup atau matinya. Saya rasa rakyat
sendiri muak mendengar akan berlaku penstrukturan semula setiap dua
hingga tiga tahun. Jadi, saya rasa yang inilah yang terakhir.
"Malah, inilah peluang terakhir. Jika gagal juga kali ini, mungkin apa
yang perlu adalah sama ada mansuhkan sahaja ataupun bina semula. Tapi
apa yang nyata kita tidak boleh ulang, ulang dan ulang (benda yang
sama)," katanya.
Mengulas mengenai cabaran yang bakal dihadapi Christoph Muller sebagai
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu MAS, Mohshin menjelaskan, untuk
mana-mana organisasi, apa yang paling penting adalah bekerja secara satu
pasukan tidak kiralah sama ada ianya melibatkan bilangan sekecil 10
pekerja sehinggalah 10,000 pekerja.
"Tapi kalau semua yang terlibat itu bertindak mengikut keingingan
sendiri, terbukti berbeza haluan, sudah pasti syarikat itu juga tidak
akan ke mana.
"Inilah cabaran yang paling penting untuk Mueller ataupun CEO mana-mana syarikat," tambahnya.
Mohshin turut menyifatkan Mueller menggalas tugas penting iaitu harus
memastikan semua kakitangannya pada semua peringkat untuk bekerja
sebagai satu pasukan dengan hala tuju yang sama serta seiringan.
Bagaimanapun, bagi kelompok yang enggan berbuat demikian kerana
berpendirian sebaliknya haruslah diberhentikan demi mencapai objektif
yang satu demi kelangsungan MAS. - Bernama